Pas, PN terus jumpa rakyat: Abdul Hadi
JOHOR BAHRU - Pas bersama komponen Perikatan Nasional (PN) akan terus menyantuni rakyat berdasarkan peningkatan sokongan yang ketara di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, meskipun PN hanya memenangi tiga kerusi DUN, namun Pas dan PN menerima keputusan pilihan raya itu dengan hati yang lapang.
"Di kesempatan ini, Pas mengucapkan terima kasih kepada para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan, serta jentera parti yang bertugas dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat.
"Pas turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang telah mengundi calon-calon PN, khususnya yang dikemukakan oleh Pas,” katanya dalam kenyataan pada Ahad
Beliau berkata, sokongan yang diberikan amat bermakna bagi meneruskan agenda prihatin, berintegriti dan berkebajikan demi kemaslahatan negeri serta negara.
Pada PRN Johor, Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (11), PN (tiga), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) (satu) dan PKR (satu).
PN menang di DUN Bukit Kepong, Maharani dan Endau. - Bernama
Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!