Ibu tunggal 'terduduk' selepas empat mesin jahit rosak
KLANG - Nasib seorang ibu tunggal di Meru di sini, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila kediamannya kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat melanda.
Terbaru, rumah Haraya dinaiki air dalam kejadian banjir kilat pada Isnin lalu selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
Selain mengalami kerosakan harta benda yang berulang, Haraya Samin, 50, 'terduduk' apabila empat mesin jahit termasuk diperoleh daripada bantuan wakil rakyat turut rosak.
Haraya berkata, dia sebolehnya mahu berpindah kerana tidak sanggup lagi berhadapan dengan keadaan banjir namun apakan daya ia tidak semudah difikirkan.
"Jika mampu memang saya nak pindah sebab dah semakin berumur, tak larat nak kemas barang-barang yang rosak setiap kali kawasan ini dilanda banjir.
"Semangat saya juga tidak lagi kuat berbanding ketika suami masa ada dan kini hanya mengharap bantuan dua anak termasuk seorang yang sudah berumahtangga," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Haraya melahirkan rasa terkilan kerana masih gagal mendapatkan bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir di Selangor walaupun bencana itu sudah hampir tiga bulan berlaku.
"Saya hanya mendapat Bantuan Selangor Bangkit (BSB) pada Februari lalu, itu sahaja tiada bantuan lain yang diterima termasuk Bantuan Wang Ihsan atau baucar RM500 untuk peralatan elektrik.
"Memang berharap sangat untuk dapat bantuan kerana duit itu sekurang-kurangnya boleh meringankan beban saya dan anak-anak," katanya.
Ujarnya, tambah memeritkan apabila dia tidak mempunyai sebarang pendapatan apabila empat mesin jahit digunakan bagi mencari rezeki rosak selepas kejadian banjir besar berlaku.
Ketika ditemui di rumahnya, ibu tunggal itu berkata, dia kini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan dua anaknya untuk meneruskan kehidupannya termasuk untuk membayar bil utiliti.
"Saya bersyukur kerana baki pinjaman rumah ini telah dibayar Lembaga Zakat Selangor (LZS). Saya memohon bantuan LZS itu selepas suami meninggal dunia pada Julai 2020," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!