Muda lakukan 'post mortem' keputusan PRN Johor Selasa ini

Amira Aisya (tengah) bertemu orang ramai selepas menang di kerusi DUN Puteri Wangsa, di Taman Adda Heights, Johor Bahru, pada Ahad.
Amira Aisya (tengah) bertemu orang ramai selepas menang di kerusi DUN Puteri Wangsa, di Taman Adda Heights, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan melakukan 'post mortem' (bedah siasat) keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menerusi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda pada Selasa ini.

Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pihaknya sudah mengeluarkan memo panggilan kepada semua ahli jawatankuasa tersebut.

"Kita akan kaji dan analisis keputusan PRN Johor termasuk kekalahan di enam kerusi yang ditandingi.

"Mesyuarat itu juga akan membincangkan jalan ke hadapan untuk parti Muda," katanya kepada pemberita selepas melakukan walk about dan bertemu orang ramai di Taman Adda Heights, di sini pada Ahad.

Amira Aisya yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Setia Wangsa berkata, terkejut Muda menang besar di saluran satu dan dua melibatkan pengundi-pengundi tua termasuk di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang sebelum ini tidak dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Bagaimanapun beliau berkata, Muda kurang mendapat sokongan pengundi berusia 18 tahun di luar bandar dalam DUN berkenaan dan mereka perlu bekerja kuat selepas ini.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) terutama jentera parti mereka yang bersama kami dari awal hingga akhir.

"Selepas ini saya mahu menghidupkan pusat-pusat komuniti untuk golongan muda dan menubuhkan majlis rakyat untuk menjalankan kerja-kerja khidmat serta dasar yang akan dibuat untuk DUN Puteri Wangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!