Tidak mustahil BN mahu kuburkan MN

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Tidak mustahil untuk UMNO menamatkan Muafakat Nasional (MN) selepas Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, kata Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, kemenangan BN yang bertanding secara bersendirian semestinya menambahkan keyakinan parti itu untuk terus bergerak secara solo pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Pas tidak pernah berhasrat untuk menguburkan MN walaupun pemimpin daripada kedua-dua parti kini dilihat sering bertikam lidah.

“Saya nampak kemenangan berturut-turut BN di PRN akan mempercepatkan usaha mereka untuk memacak batu nisan pada MN. Namun Pas sejak awal lagi memang tak mahu tamatkan gagasan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat daripada pasukan ‘Keluarga Malaysia Everest 2022’ di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.

Menteri Besar Kedah itu berkata, pendirian Pas masih tidak berubah seperti diputuskan oleh Majlis Syura Pas, iaitu memperkasakan MN dan pada masa sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Muhammad Sanusi (empat dari kanan) menerima kunjungan hormat daripada pasukan ‘Keluarga Malaysia Everest 2022’ di Wisma Darul Aman.
Muhammad Sanusi (empat dari kanan) menerima kunjungan hormat daripada pasukan ‘Keluarga Malaysia Everest 2022’ di Wisma Darul Aman.

“Kita tunggu tengok sama ada UMNO mahu pacak batu nisan tu, kalau berlaku, kita (Pas) hafal talkin lah,” katanya sinis.

Menurutnya, sebarang perubahan termasuk membubarkan MN terletak pada keputusan UMNO, kerana Pas tidak pernah membangkitkan isu untuk menguburkan gagasan yang telah dibina hampir tiga tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Terpulang pada UMNO, Pas tak pernah buat keputusan mahu putuskan hubungan dalam MN, sebaliknya pimpinan UMNO termasuk Presiden dan Timbalan Presiden parti itu kerap membuat kenyataan ke arah perpecahan.

“Walaupun nampak sukar, namun itulah keputusan yang Pas mahu capai untuk perkasakan MN dan pertahankan PN,” katanya lagi.

Dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Parlimen pada Selasa, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui tidak mahu MN yang dibentuk bersama UMNO terkubur dengan mudah.

Tegasnya, ini kerana kewujudan muafakat yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia itu telah berjaya memberi kesan positif khususnya kepada ahli kedua-dua parti.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya mengenai hala tuju MN susulan wujud ‘perang mulut’ serta gesaan segelintir pemimpin kedua-dua parti itu yang mahu muafakat itu segera dikuburkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!