Konflik Rusia-Ukraine: MAFI cari input pertanian dari negara lain

Haslina - Foto Bernama
Haslina - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) giat mendapatkan sumber bahan mentah termasuk input pertanian dari negara pengeluar lain, berikutan konflik berterusan antara Rusia dan Ukraine.

Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, Malaysia mengimport sebahagian bahan input pertanian seperti baja dari dua negara tersebut.

Beliau berkata, walaupun perang tersebut tidak memberi implikasi besar kepada sektor pertanian negara setakat ini, pihaknya sedang melihat negara-negara pengeluar bahan mentah lain.

"Memang kita ada import bahan mentah dari Rusia dan Ukraine, tetapi kita juga berusaha mencari solusi dengan negara sumber yang lain, iaitu bahan mentah seperti minyak, baja iaitu input utama pertanian.

"Sebelum berlaku peperangan, kita berjaya membawa masuk sebahagian besar, ia mencukupi bagi tempoh sebulan dua ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Kecemerlangan dan Kecergasan Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) 2022 di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, pergolakan tersebut turut memberi kesan kepada harga makanan ternakan di pasaran dunia.

"(Kenaikan harga) dedak itu lumrah, ia bergantung kepada harga pasaran dunia, sekarang ini dengan keadaan semasa ia terjejas sedikit, bagaimanapun setakat ini belum memberi implikasi yang tinggi dan kita sentiasa pastikan keadaan terkawal,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!