Jangan bantutkan usaha perkasa pendidikan vokasional
SEORANG kawan menghubungi Merak Jalanan baru-baru ini untuk meluahkan kekecewaannya terhadap pendidikan vokasional di negara ini.
Katanya, kerajaan bersungguh-sungguh memperkasa pendidikan vokasional, malangnya ada kursus-kursus yang popular tidak dibuka secara meluas.
Dia memberitahu kepada Merak Jalanan tentang hasrat untuk memasukkan anaknya dalam bidang grafik di salah sebuah vokasional.
Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak kesampaian kerana hanya dua kelas yang dibuka untuk pelajar.
Menurut sumber dari sekolah tersebut, bidang grafik memang amat popular dan menjadi rebutan pada setiap tahun.
Lalu Merak Jalanan termenung seketika dan menggarukan kepala yang tidak gatal.
Macam-macam kempen dilakukan kerajaan untuk menggalakkan rakyat menceburi pendidikan vokasional.
Malah ada pihak mengkritik sesetengah ibu bapa yang tidak yakin dengan pendidikan vokasional.
Tetapi, apabila ibu bapa mahu anak mereka memasuki pendidikan vokasional, bidang diminati tidak cukup tempat.
Sepatutnya jurusan yang mendapat banyak permintaan itu diberikan perhatian dan ditambah jumlah kelas.
Merak Jalanan bimbang akhirnya pelajar terbabit mengambil jurusan lain yang tidak sesuai dengan jiwa, lantas menjejaskan masa depannya kelak.
Satu masalah lagi yang dibangkitkan sahabat Merak Jalanan ialah segala maklumat hanya diketahui oleh pihak sekolah sahaja.
Pihak kementerian tidak tahu status kelas atau subjek yang ada di sekolah vokasional.
Ini menyebabkan ibu bapa perlu mencari sendiri bidang yang sesuai untuk anak mereka dengan menghubungi pihak sekolah.
Merak Jalanan berharap agar masalah berkenaan dapat dipermudahkan oleh pihak terbabit bagi memastikan hasrat untuk memperkasakan pendidikan vokasional tidak terbantut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!