Wartawan AS maut terkena tembakan di Ukraine
KIEV -Seorang wartawan yang juga pembikin program dokumentari Amerika Syarikat (AS) maut terkena tembakan manakala seorang lagi jurugarmbar dari negara 'Uncle Sam' itu cedera pada Ahad di Irpin, Ukraine.
Pembuat dokumentari video, Brent Renaud, 50, itu bekerja untuk syarikat media Time Studios dalam projek mengenai isu pelarian global.
"Kami sangat sedih dengan kehilangan Brent Renaud," kata Ketua Editor Time Studios, Edward Felsenthal dalam satu kenyataan.
"Adalah penting bahawa wartawan dapat membuat liputan dengan selamat mengenai pencerobohan dan krisis kemanusiaan yang berterusan ini di Ukraine," tambahnya.
Kad identiti pengenalan diri ketika bekerja di New York Times adalah antara dokumen yang ditemui pada Renaud yang menyebabkan terdapat laporan awal bahawa dia bekerja untuk akhbar itu.
Persekutuan Wartawan Antarabangsa mengenal pasti jurugambar AS yang cedera itu ialah Juan Arredondo.
Mangsa ketiga, seorang warga Ukraine yang berada dalam kereta yang sama dengan warga Amerika juga cedera, menurut seorang doktor di tempat kejadian.
Pihak akhbar The New York Times menanggap Renaud sebagai jurugambar dan pembikin filem berbakat yang kali terakhir menyumbang kepada akhbar itu ialah pada tahun 2015.
Pegawai Ukraine menyalahkan tentera Rusia kerana melancarkan serangan sehingga menyebabkan wartawan itu terbunuh manakala seorang jurugambar AS dan seorang warga Ukraine cedera itu.
Kejadian berlaku berhampiran sebuah jambatan yang menghala dari Irpin ke Bucha yang kini di bawah kawalan Rusia.
Renaud menjadi wartawan asing pertama yang terbunuh di Ukraine sejak serangan tentera Rusia bermula pada 24 Februari lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!