Proses pintu sempadan lancar jika negara jiran buka sempadan 1 April

Khairul Dzaimee Daud
Khairul Dzaimee Daud
A
A
A

KOTA KINABALU - Proses keluar dan masuk melalui pintu sempadan negara di Sabah dijangka tidak akan mengalami banyak masalah sekiranya negara-negara jiran juga melaksanakan pembukaan sempadan bermula 1 April depan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, tiada masalah dari segi kawalan bagi jabatan itu membenarkan rakyat dari luar untuk masuk ke negara ini melalui pintu sempadan.

"Ini bergantung kepada negara jiran sama ada mereka membenarkan atau tidak rakyat mereka keluar negara seperti sebelum pandemik.

"Insya-ALLAH, sekiranya negara-negara jiran kita juga melaksanakan pembukaan-pembukaan sempadan yang sama pada 1 April ini, proses keluar masuk ini tidak akan mengalami banyak masalah dan sistem-sistem juga telah diuji semula dan setakat ini berada dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas di minta mengulas berhubung lawatan kerja beliau ke pintu sempadan di Sabah pada Isnin.

Diminta mengulas lanjut, beliau berkata, pegawai dan anggotanya yang sebelum ini ditugaskan ke unit lain akan ditempatkan semula di pintu masuk sempadan selaras dengan keputusan kerajaan bagi pembukaan semula pintu sempadan pada bulan depan.

"Saya telah melawat pintu-pintu masuk lain di Mengkalap (Sarawak), Sindumin dan Merapok dan tujuannya untuk melihat persediaan apabila pintu sempadan negara dibuka pada 1 April.

"Setakat ini Imigresen bersedia untuk melaksanakan pembukaan semula sempadan negara dan dari segi tenaga kerja akan ditempatkan semula ke pintu-pintu masuk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, beliau turut memaklumkan satu tapak untuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS)

telah dikenal pasti di negeri ini untuk dibangunkan pada masa hadapan.

"Saya telah mengadakan lawatan pos Imigresen di Pagalungan di mana kawasan itu agak jauh dan saya pergi dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menaiki helikopter untuk melihat proses Imigresen di sana.

"Selain itu saya telah dimaklumkan satu tapak untuk ICQS yang lebih sempurna telah pun dikenal pasti untuk pembangunan di masa hadapan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!