Tiga beradik manfaat cuti persekolahan bantu keluarga
PADANG BESAR - Cuti penggal persekolahan ketika ini dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh tiga beradik yang menetap di Kampung Ayer Timbul, Chuping di sini bagi membantu keluarga mereka di samping mencari wang saku sendiri.
Sejak bapa mereka, Mohd Asrul Rusman, 44, menjalani pembedahan tulang belakang pada 2019, anak ketiga hingga kelima daripada enam adik beradik ini sentiasa ringan tulang membantu ibunya, Rohaida Md Jusoh, 45, untuk mengambil upah mengutip sayur dan melakukan kerja-kerja penternakan.
Rohaida berkata, anaknya, Mohd Ilham Mohd Asrul, 13, Mohd Idham Anuar Mohd Asrul, 11, dan Mohd Azham Mohd Asrul, 8, akan membantunya pada setiap kali cuti persekolahan untuk mencari wang saku sendiri di samping meringankan bebanannya untuk bekerja bagi mencari rezeki.
"Setelah suami saya menjalani pembedahan, dia tidak lagi dapat bekerja kerana masalah tulang belakang dan sejak itu, saya mengambil upah mengutip sayur dengan upah sekitar RM30 sehari.
"Selain itu, saya juga melakukan kerja-kerja penternakan memandangkan kami juga ada memelihara kambing di belakang rumah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut Rohaida, beliau juga hanya membenarkan anak-anaknya untuk membantu ketika cuti persekolahan bagi menggelakkan proses pembelajaran mereka terganggu.
Ibu kepada enam cahaya mata ini berkata, duit upah yang diperoleh anak-anaknya itu juga disimpan sendiri oleh mereka dan turut digunakan sebagai perbelanjaan wang saku ke sekolah.
"Dengan bayaran upah itulah mereka simpan dan gunakan untuk perbelanjaan sekolah dan saya sentiasa ingatkan anak-anak bahawa bukan mudah untuk mendapatkan wang sekiranya tidak berusaha.
"Alhamdulillah mereka memahami dan tidak pernah merungut untuk membantu saya mencari pendapatan pada setiap kali cuti persekolahan,” katanya.
Tambah Rohaida, anaknya juga terlibat di dalam Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) berikutan masalah pembelajaran manakala suaminya turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kegigihan tiga beradik itu mendapat perhatian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis yang turun padang bagi meninjau dengan lebih dekat keadaan keluarga berkenaan.
Pengarah Pendidikan Perlis, Naharudeen Othman berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang dilakukan tiga beradik itu yang berusaha membantu ibu mereka menambah pendapatan di samping memanfaat cuti persekolahan dengan sebaiknya.
"Kita juga harap dengan apa yang dilakukan anak-anak ini dapat memberikan kemahiran kepada mereka contohnya dalam bidang pertanian yang boleh digunakan pada masa hadapan,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga berkenaan untuk digunakan menjelang sesi pembukaan persekolahan kelak.
Naharudeen berkata, pihaknya juga akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi lain bagi melihat bentuk bantuan yang dapat disalurkan kepada keluarga berkenaan khususnya dalam bidang pertanian.
"Kita mungkin boleh mohon bantuan seperti tanaman sayur di dalam polibeg memandangkan kawasan perkarangan rumah keluarga ini juga luas dan dapat dimanfaatkan untuk pertanian.
"Melalui usaha begini, anak-anak ini juga akan mendapat latihan secara praktikal untuk menjaga tanaman sendiri dan terdedah dengan kemahiran kalis masa hadapan seperti pertanian,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!