Imigresen serbu setinggan kotor warga Filipina

Khairul Dzaimee membuat pemeriksaan terhadap individu yang ditahan dalam operasi Imigresen di sebuah penempatan setinggan di pinggir Sungai Likas, Kota Kinabalu.
Khairul Dzaimee membuat pemeriksaan terhadap individu yang ditahan dalam operasi Imigresen di sebuah penempatan setinggan di pinggir Sungai Likas, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebuah penempatan setinggan di belakang bangunan sebuah pusat beli belah di sini, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam operasi di pinggir Sungai Likas, pada awal pagi Isnin.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 12 tengah malam itu, pasukan operasi terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira 200 meter dan melalui titi kecil menyeberangi sungai untuk menyerbu kawasan penempatan di kawasan terpencil dipercayai didiami oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan mendapati kebanyakan penduduk tidak mempunyai dokumen dan segelintir daripadanya memegang dokumen IMM13 serta dokumen lain.

"Seramai 124 orang diperiksa dan kesemua mereka adalah warga Filipina. Daripada jumlah tersebut, 117 individu ditahan termasuk 71 kanak-kanak berusia dari dua hingga 10 tahun," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi berkenaan.

Menurut Khairul Dzaimee, pihaknya percaya penempatan itu sudah wujud sekurang-kurangnya empat tahun lalu berdasarkan pemeriksaan pada kabel elektrik dan keadaan kawasan berkenaan.

"Jabatan Imigresen akan memaklumkan kepada pihak berkuasa utiliti dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai keadaan penempatan ini yang amat bahaya dari segi kesihatan awam.

"Tidak ada sistem perparitan dan sanitasi yang sempurna. Keadaan tempat tinggal ini juga tidak bersih dan tentu akan menjadi punca merebaknya penyakit berbahaya selain Covid-19," katanya.

Khairul Dzaimee, semua individu berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!