Sultan Selangor gesa kerajaan negeri ambil serius tangani isu banjir

Sultan Sharafuddin bertitah semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Isnin. -Foto: Media Selangor.
Sultan Sharafuddin bertitah semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Isnin. -Foto: Media Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa kerajaan negeri tersebut agar memberi penekanan yang lebih serius terhadap usaha-usaha menangani masalah banjir dan banjir kilat yang semakin kerap berlaku.

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan sedih apabila melihat kesan-kesan kerosakan selepas banjir yang terpaksa dihadapi oleh rakyat.

Titahnya, Kerajaan Selangor perlu menyediakan pelbagai pelan, selain mengenalpasti kaedah terbaik menangani banjir termasuk mendapatkan khidmat kepakaran serta teknologi baharu dari dalam dan luar negara.

"Sepatutnya, sejak berlaku tragedi banjir besar di Selangor pada tahun 1971, kita telah belajar dan memperoleh teladan bagaimana untuk menyediakan pelan tindakan sebelum dan selepas banjir.

"Apatah lagi dengan jumlah penduduk yang kini mencecah lebih 6.5 juta orang terutama kawasan-kawasan yang sangat padat penduduknya, Kerajaan Negeri harus mempunyai perancangan masa hadapan yang lebih efektif supaya rakyat Selangor tidak lagi merana dan terbeban dengan masalah banjir.

"Beta juga mahu pegawai-pegawai di agensi dan jabatan di bawah kerajaan negeri lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah-masalah berkaitan bencana banjir. Setiap tindakan dan respons perlu diambil dengan pantas tanpa berlengah kerana ia membabitkan nyawa dan kerugian harta benda rakyat," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor.
Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin berharap setiap projek mengatasi banjir seperti pembinaan ban atau mendalamkan sungai dilakukan dengan sempurna dan bersungguh-sungguh agar ia berkesan dalam tempoh jangka masa panjang bagi mengelakkan bencana banjir lebih buruk daripada berlaku.

Baginda turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan Undang-undang menjadi salah satu cara paling berkesan untuk memberi pengajaran kepada rakyat supaya tidak melakukan pencemaran dan pencerobohan tanah di tepi-tepi sungai di Selangor.

Titahnya, kerajaan negeri perlu mengukuhkan tindakan penguatkuasaan khususnya terhadap pihak-pihak terlibat dalam kegiatan pencemaran sungai yang menjadi punca utama berlakunya bencana banjir.

"Beta berharap rakyat Beta memainkan peranan untuk memastikan sistem perparitan dan sungai di penempatan masing-masing tidak tersumbat dan sentiasa bersih serta berada dalam keadaan baik. Elakkan daripada membuang sampah ke dalam sungai yang boleh mencemarkan kualiti air dan banjir kilat.

"Sekiranya semua pihak masih tidak serius dan sambil lewa dalam mendepani bencana banjir ini, bukan sahaja kerajaan akan terus menanggung kerugian, malah rakyat juga akan terbeban.

"Dalam hal ini, Beta berharap kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengenepikan perbezaan fahaman politik dan dapat bekerjasama menangani masalah banjir di Lembah Klang supaya rakyat yang terlibat tidak menanggung penderitaan yang teruk dan trauma setiap kali berlaku musim hujan," titahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!