Banyak pukat hantu di Tanjung Tuan

Bakri (tengah) ketika melepaskan penyu di pantai Tanjung Tuan, pada Isnin.
Bakri (tengah) ketika melepaskan penyu di pantai Tanjung Tuan, pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (DOF) mengesan lambakan pukat hantu di dasar laut Tanjung Tuan yang mendatangkan risiko kematian kepada hidupan laut termasuk penyu di perairan pantai berkenaan.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada penyelam, dasar laut itu tercemar dengan lambakan pukat hantu yang memenuhi sekeliling terumbu karang.

"Keadaan itu boleh memerangkap dan membunuh hidupan laut yang menjadikan terumbu karang sebagai tempat perlindungan serta pembiakan.

"Dari segi pemulihan, salah satu inisiatif adalah seperti program menyelam untuk mendapatkan pukat tertinggal (pukat hantu) serta membersihkan terumbu karang," katanya selepas Program Pemuliharaan Biodiversiti Marin di Pantai Tanjung Biru, pada Isnin.

Sempena program tersebut, enam ekor penyu jenis karah dan agar serta lima ekor anak ikan yu bodo dilepaskan ke perairan Port Dickson," katanya.

Katanya, berdasarkan kaji selidik DOF bersama pakar penyelidik pada tahun 2018 di perairan Port Dickson, terdapat 46 spesis karang keras, 10 spesis karang lembut, dan 44 spesis ikan karang.

"Port Dickson terkenal sebagai pusat pelancongan dan lokasi selam yang menarik berikutan kepelbagaian terumbu karang yang cantik dan spesies hidupan marin termasuk ikan-ikan karang, tumbuhan akuatik (latok), penyu dan mamalia akuatik," katanya.

Bakri berkata, perairan Tanjung Tuan paling unik kerana satu-satunya kawasan tepi tanah besar semenanjung yang mempunyai terumbu karang cantik.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!