Serangan Rusia hampiri sempadan NATO
LVIV - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Isnin memberi amaran kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bahawa negara anggota perikatan itu bakal menjadi sasaran seterusnya operasi ketenteraan dilancarkan Rusia selepas serangan udara Moscow menyasarkan pangkalan tentera Kiev berhampiran sempadan Poland.
"Pada tahun lalu, saya sudah memberi peringatan yang jelas kepada pemimpin NATO iaitu peperangan pasti akan tercetus jika mereka tidak mengenakan sekatan yang ketat terhadap Moscow. Sekarang ia benar-benar berlaku
"Jika NATO enggan menutup ruang udara Ukraine, mereka hanya menunggu masa roket dilancarkan ke wilayah perikatan tersebut.," katanya yang sekali lagi menggesa perikatan tersebut melaksanakan zon larangan terbang di Kiev.
Ketika insiden serangan pada Ahad, sekurang-kurangnya 35 terkorban manakala kira-kira 134 yang lain cedera dalam kejadian serangan di Pusat Antarabangsa Yavoriv untuk Misi Pengaman dan Keselamatan yang terletak kira-kira 25 kilometer dari sempadan Warsaw.
Gabenor Lviv, Maksym Kozytskyy berkata, kira-kira 30 roket dibedil ke arah kemudahan tersebut, namun sebahagiannya berjaya ditembak jatuh.
"Ruang makan, dormitori dan berek telah musnah. Apa yang penting kami masih hidup," kata jurucakap di pangkalan tentera itu, Kolonel Leonid Benzalo.
Difahamkan, serangan ganas itu dilancarkan sehari selepas Kremlin memberi amaran ia bakal menyasarkan konvoi penghantaran bekalan senjata ke Ukraine yang disalurkan Barat.
Sebelum ini, kempen pencerobohan tersebut dikatakan hanya memberi tumpuan di kawasan timur dan selatan Kiev yang didiami majoriti etnik Rusia.
Namun, operasi ketenteraan itu telah diperluaskan ke bahagian tengah di bandar Dnipro dan kini ke kawasan barat di Yovoriv yang terletak bersempadan Poland.
Ketika ini, usaha diteruskan untuk membantu penduduk Mariupol yang dikepung tentera Rusia sejak minggu lalu, namun bantuan kemanusiaan yang dihantar ke bandar tersebut dilaporkan terpaksa berpatah balik susulan kempen serangan yang semakin sengit yang turut meragut lebih 2,100 nyawa orang awam. - AFP
INFO
> Pusat Antarabangsa Yavoriv untuk Misi Pengaman dan Keselamatan berkeluasan 360 kilometer persegi itu adalah salah sebuah pangkalan terbesar di bahagian barat Ukraine yang masih terhindar daripada kempen pencerobohan Rusia sejak lebih dua minggu lalu.
> Beberapa minggu sebelum Moscow melancarkan operasi ketenteraan pada bulan lalu, kumpulan pelatih NATO ada melatih tentera Ukraine di kemudahan itu dan kesemua mereka meninggalkan pangkalan tentera tersebut pada pertengahan Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!