Tiada tempat di negara asal, punca depoh tahanan PATI sesak
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, proses pengusiran agak lambat bagi Filipina dan Indonesia kerana alasan yang diberikan oleh dua negara berkenaan.
"Isunya sekarang ini, kebanyakan negara asal memberikan alasan bahawa mereka tidak mempunyai tempat yang mencukupi untuk menampung warganegara mereka apabila kita hantar.
"Bukan saja Filipina, tetapi negara lain contohnya Indonesia memberikan alasan yang sama," katanya kepada pemberita selepas hadir pada operasi di penempatan setinggan di pinggir Sungai Likas, di sini, awal pagi Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas situasi semasa depoh tahanan PATI berikutan operasi yang dilaksanakan imigresen bagi mengesan PATI di negeri ini.
Katanya lagi, walaupun imigresen melaksanakan penghantaran PATI ke negara asal secara berterusan tetapi ia hanya dilakukan dalam kumpulan yang kecil.
"Setakat ini depoh masih boleh menampung tangkapan PATI dalam operasi ini kerana pengusiran secara kecil-kecilan dapat dilaksanakan secara berterusan. Rundingan sekarang sedang dijalankan Imigresen Sabah dengan pihak kerajaan Filipina supaya rakyat mereka yang ramai ketika ini iaitu kira-kira 5,000 orang dapat diusir dalam jumlah yang ramai.
"Ada pengusiran dijalankan bukan saja di depoh-depoh di Sabah tetapi di seluruh negara dan bagi warga India dan Pakistan serta beberapa negara yang menjadi sumber tenaga kerja kita di Malaysia, mereka ini boleh diusir dengan cepat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!