Lawatan Sameh Hassan bakal perkukuh lagi hubungan Malaysia-Mesir

Sameh Hassan Shoukry - Foto AFP
Sameh Hassan Shoukry - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lawatan sulung tiga hari Menteri Luar Mesir, Sameh Hassan Shoukry ke Malaysia bermula Isnin akan terus mengukuhkan lagi momentum hubungan kedua-dua negara, selain mencerminkan keazaman untuk meningkatkan lagi kerjasama ke tahap lebih tinggi.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengadakan mesyuarat dua hala yang bertujuan mempertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

"Kedua-dua menteri luar juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual menerima kunjungan hormat daripada Sameh Shoukry pada Isnin dan beliau akan menyampaikan undangan kepada Perdana Menteri untuk menghadiri Persidangan ke-27 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP27-UNFCCC), di Sharm El Sheikh pada November 2022

"Sameh Shoukry juga dijadual mengadakan pertemuan bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Man Tuan Ibrahim,” menurut kenyataan itu.

Lawatan itu juga akan memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi visi dan objektif Mesir sebagai Presiden COP27.

Mesir merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Afrika utara. Pada 2021, jumlah dagangan dua hala Malaysia-Mesir bernilai RM3.8 bilion (ASD904.1 juta), iaitu peningkatan ketara sebanyak 84.5 peratus, berbanding nilai direkodkan pada 2020.

Lawatan itu akan dilaksanakan dengan pematuhan penuh prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan pihak berkuasa Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: