Tiga juta kematian berpunca pengambilan garam tinggi

Orang ramai disaran mengambil garam tidak melebihi satu sudu teh sehari. - Foto 123RF
Orang ramai disaran mengambil garam tidak melebihi satu sudu teh sehari. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak tiga juta kematian di seluruh dunia berpunca daripada pengambilan garam yang tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengambilan garam berlebihan meningkatkan tekanan darah dan seterusnya meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, strok, kanser dan penyakit buah pinggang yang merupakan punca utama kematian penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh dunia.

"Di kebanyakan negara berpendapatan tinggi serta sebahagian negara berpendapatan rendah dan sederhana, sumber pengambilan garam utama adalah daripada makanan diproses ultra seperti mi segera, nuget ayam, burger, hotdog, ikan masin, telur masin, makanan dalam tin, kerepek serta keropok," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2022 yang disambut pada 14 hingga 20 Mac 2022 dengan tema Tak Masin Tu Ok!

Dr Noor Hisham berkata, antara kumpulan sasar utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah dalam kalangan industri makanan dengan memberikan pendidikan dan kerjasama berterusan bagi memastikan mereka komited dalam melakukan reformulasi produk makanan serta minuman agar kandungan garam dapat dikurangkan.

Di samping itu katanya, pihak industri makanan diingatkan untuk mematuhi Akta Makanan, 1983 pindaan 2020 yang mewajibkan pelabelan kandungan garam pada produk makanan dan minuman.

"Berdasarkan hasil tinjauan di pasar raya di Malaysia pada tahun 2017, hanya separuh produk makanan menunjukkan label kandungan garam pada maklumat pemakanan," katanya.

Beliau berkata, pelabelan pemakanan dapat membantu pengguna memahami tentang kandungan nutrisi sesuatu produk makanan atau minuman dan secara tidak langsung menggalakkan orang ramai membeli makanan lebih sihat serta sesuai dengan keperluan.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat juga disaran agar mengambil garam tidak melebihi satu sudu teh sehari termasuk garam tersembunyi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, garam mengandungi unsur natrium (sodium) dan klorida yang terdapat di dalam sumber lain seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate, Monosodium Glutamate dan lain-lain.

"Jadi awasi sumber natrium yang mungkin tersembunyi," katanya.

Tambahnya, makanan diproses ultra adalah mengandungi bahan tiruan seperti pewarna, pemanis, perisa, pengawet, pemekat, pengemulsi dan bahan tambahan lain bagi meningkatkan kesedapan dan jangka hayat makanan tersebut.

"Ia juga tinggi kandungan gula, garam dan lemak," katanya.

Justeru katanya, orang ramai disaran berubah kepada masakan lebih sihat dan membawa makanan yang dimasak di rumah ke tempat kerja.

"Sekiranya makan di luar, pesan hidangan kurang garam sebagai norma baru," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!