TNB, PLUS umum kolaborasi kurangkan pelepasan karbon

Ismail Sabri (tengah), Tengku Zafrul (tiga dari kiri), Mohamed Azmin (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Baharin (dua dari kiri) dan Azman (kanan) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Ismail Sabri (tengah), Tengku Zafrul (tiga dari kiri), Mohamed Azmin (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Baharin (dua dari kiri) dan Azman (kanan) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan kolaborasi bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi membolehkan jajaran lebuh rayanya menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon seiring dengan komitmen kerajaan menuju pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050.

Persetujuan kerjasama ini melalui tiga inisiatif kelestarian iaitu membangunkan rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik, pemasangan sistem pemantauan kecekapan tenaga dan pemasangan sistem solar fotovoltaik di bangunan kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, melalui kerjasama itu, rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik akan dipasang di R&R terpilih dan berpotensi tinggi di sepanjang jajaran Lebuhraya PLUS.

Menurutnya, sistem pemantauan kecekapan tenaga dan sistem solar fotovoltaik akan dipasang pada bumbung bangunan R&R Ayer Keroh (arah utara) dan R&R Tapah (arah utara) dengan jumlah kapasiti lebih 360 kWp (kilowatt peak).

“TNB akan menyediakan bekalan elektrik berdaya harap dan stabil kepada ekosistem pengecasan EV yang dipersetujui bersama kedua-dua pihak.

“TNB juga menawarkan penyelesaian kepada PLUS yang boleh mengoptimumkan kos elektrik dan menyokong sumber tenaga hijau serta mampan dalam mengurangkan pelepasan karbon,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Majlis yang diadakan pada Jumaat lalu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyaksikan pertukaran dokumen strategik ini melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Baharin dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Baharin menjelaskan, ketiga-tiga inisiatif di bawah MoU tersebut akan mengurangkan pelepasan karbon serta menyokong penggunaan tenaga hijau selain mengoptimumkan penggunaan tenaga elektrik dalam operasi perniagaan bagi meningkatkan lagi komitmen terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Artikel Berkaitan:

“Selain sasaran pelepasan karbon sifar bersih pada tahu 2050 dalam aspek penjanaan tenaga seperti aspirasi kami melalui hala tuju kelestarian, usaha bersama pelbagai organisasi seperti PLUS ini mengukuhkan lagi keyakinan pelabur mengenai komitmen kami terhadap ESG dan menyediakan potensi langkah-langkah strategik pengembangan perniagaan melangkaui kilowatt jam (kWh),” katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, inisiatif terbabit dilaksanakan bagi memperbanyakkan rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik supaya perjalanan pelanggan yang menggunakan kenderaan elektrik lebih lancar, selamat dan selesa khususnya di sepanjang Lebuhraya PLUS.

“Inisiatif ini juga mengukuhkan komitmen PLUS dalam menerajui industri selaku pengendali lebuh raya yang peka terhadap kelestarian alam sekitar.

“Selain memastikan tadbir urus yang baik dan komited terhadap keperluan masyarakat, pengurusan alam sekitar juga merupakan salah satu tunjang utama yang memacu perkembangan PLUS untuk menjadi lebuh raya pintar masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata, ia seiring dengan inisiatif-inisiatif hijau lain yang dilaksanakan PLUS termasuklah penggunaan teknologi hijau di premis, menggunakan turapan yang dikitar semula untuk menurap jalan di kawasan R&R serta menggunakan bahan yang lebih mesra alam dalam pengendalian operasi lebuh rayanya.

“MoU ini juga merupakan salah satu langkah kami untuk mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dalam operasi seharian kami.

“Ia telah bermula dengan pensijilan ISO 14001: 2015 Sistem Pengurusan Alam Sekitar pada tahun 2016 serta Pelan Hala Tuju Hijau yang diperkenalkan pada tahun 2018,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!