Lelaki hilang ditemukan lemas
JELI - Seorang lelaki yang hilang ketika mandi di Sungai Pergau di Pengkalan Nibong, Kuala Balah di sini dua hari lalu ditemukan lemas pada Isnin.
Mayat mangsa, Che Mat Nasir Che Mat, 44, ditemui orang awam pada jam 11.05 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira empat kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada Sabtu.
“Operasi mencari mangsa dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Unit K9 dan Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Pengkalan Chepa serta Pengkalan Kubur bermula pada hari dia dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa dijumpai oleh orang awam sekitar jarak 100 meter dari tebing pada pagi ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai 33 anggota termasuk bomba dan polis selain 20 orang awam.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam kejadian pada Sabtu, mangsa mandi sungai selepas selesai memunggah kayu menggunakan sebuah bot bersama dua rakannya.
Mangsa dikatakan pandai berenang, namun tiba-tiba dilihat terkapai-kapai sambil meminta tolong, rakannya cuba menyelamatkannya namun gagal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!