TH, UTP jalin kerjasama bangunkan e-Learning Haji

Perjanjian e-learning tersebut telah ditandatangani oleh Syed Saleh (kiri) manakala UTP diwakili Mohd Shahir (kanan) sambil diperhatikan oleh Amrin (dua dari kiri) dan Mohamed Ibrahim (dua dari kanan)
Perjanjian e-learning tersebut telah ditandatangani oleh Syed Saleh (kiri) manakala UTP diwakili Mohd Shahir (kanan) sambil diperhatikan oleh Amrin (dua dari kiri) dan Mohamed Ibrahim (dua dari kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk membangunkan sistem e-Learning Haji bagi memperkasakan bimbingan haji dalam kalangan masyarakat.

Sistem e-Learning Haji merupakan sebahagian daripada inisiatif pelan strategik TH iaitu HIJRAH24 seperti yang terkandung dalam Rangka Tindakan Pengurusan Haji (2021-2025).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pembangunan platform tersebut bertujuan membantu bakal jemaah haji mempelajari dan menambah ilmu ibadat haji dengan lebih efektif dan mudah secara dalam talian.

Datuk Seri Amrin Awaluddin
Datuk Seri Amrin Awaluddin

“E-Learning Haji ini turut menyediakan kemudahan untuk guru-guru agama yang berperanan sebagai Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan petugas-petugas haji memperkukuhkan ilmu ibadat haji serta pengurusan yang berkaitan dengannya.

“TH sentiasa komited dalam memenuhi mandat untuk menambah baik perkhidmatan yang disediakan bagi memudahkan umat Islam Malaysia menunaikan ibadat haji,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Perjanjian e-learning Haji telah ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman manakala UTP diwakili Timbalan Naib Censelor Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan UTP, Prof Ir Dr Mohd Shahir Liew.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Naib Canselor UTP, Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Amrin berkata, dengan kerjasama tersebut, warga kerja TH berpeluang melanjutkan pengajian peringkat pascasiswazah di UTP bagi membangunkan tenaga kerja TH melalui perkongsian kemahiran dengan ahli-ahli fakulti UTP.

“Projek e-Learning Haji ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta dan merupakan salah satu kos tidak langsung yang ditanggung oleh TH selain kos-kos langsung termasuk bantuan kewangan haji yang mencecah RM300 juta saban tahun,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!