Ahmad Maslan tidak tolak ada usul PRU15 pada PAU

Ahmad Maslan (tengah) pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Menara Dato Onn pada Isnin. -Foto: Bernama
Ahmad Maslan (tengah) pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Menara Dato Onn pada Isnin. -Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak menolak kemungkinan usul Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibawa oleh jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 bermula pada Rabu ini.

Menurutnya, UMNO terbuka untuk mendengar apa jua usul yang akan dibawa dalam PAU itu nanti asalkan tidak menyentuh perkara yang sensitif.

"Saya kira UMNO ini terbuka dan kita akan mendengar apa juga yang mereka akan bahaskan. Namun, saya harap perbahasan itu tentunya akan menjurus bukan hanya kepada isu politik.

"Kita juga mahu mendengar tentang isu menangani Covid-19, meningkatkan ekonomi rakyat dan negara, isu mengenai hubungan antara kaum, agama dan sebagainya.

"Mungkinlah ada yang akan menyentuh mengenai PRU15. Kita tidak tahu lagi sebab mereka bebas untuk mengungkapkan apa jua perkataan asalkan tidak menyentuh hal yang sensitif," katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Auditorium UMNO, Menara Dato' Onn pada Isnin.

Beliau berkata, usul yang akan dibahaskan dalam PAU akan diputuskan dalam satu mesyuarat yang akan diadakan pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad menjelaskan semangat kemenangan dan rasa kesyukuran akan mewarnai PAU kali ini selepas BN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Semangat serta kesyukuran menang kedua-dua PRN itu akan dibawa bersama oleh perwakilan dan pemerhati ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Selain itu, semangat kejayaan rakan akrab BN di Sarawak yang menang 76 daripada 82 kerusi atau 93 peratus juga tentunya dapat dirasakan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, siri kemenangan kepada BN dan rakan BN itu memberikan semangat baharu dan rasa penuh kesyukuran perwakilan pada kali ini. Saya kira ia akan mewarnai Perhimpunan Agung UMNO ini dengan semangat bahawa UMNO dan BN bangkit kembali untuk dipertanggungjawabkan menguruskan pemerintahan negara," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan seramai 5,571 orang perwakilan akan menghadiri PAU kali ini.

Menurut Ahmad, ia melibatkan 959 orang perwakilan akan menyertai Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 971 perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda manakala 961 perwakilan terlibat pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.

"Jumlah perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO pula adalah 2,680 termasuk 61 perwakilan Mahasiswa Nasional.

"Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan PAU UMNO 2021 dan menyampaikan ucapan dasar pada Jumaat," katanya.

PAU kali ini juga diadakan secara fizikal sepenuhnya dengan kapasiti perwakilan separuh daripada dewan yang digunakan selain melibatkan beberapa dewan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!