Ahmad Zahid terus berteka-teka siapa MB Johor
JOHOR BAHRU - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus berdiam diri sebaik sahaja kembali menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada petang Isnin.
Beliau yang juga Presiden UMNO kemudian diiringi Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, naik ke tingkat tiga bagi mengadakan perbincangan.
Kesemua pemimpin berkenan dilihat turun ke bawah setengah jam kemudian sebelum bergegas meninggalkan Pejabat Perhubungan UMNO Johor pada jam 4.30 petang.
Status Menteri Besar Johor ke-19 terus menjadi tanda tanya kerana ketiga-tiga pemimpin terbabit terus mengunci mulut sewaktu diajukan soalan oleh petugas media yang menunggu di Pejabat UMNO Johor sejak jam 2 petang.
Difahamkan, ketiga-tiga pemimpin itu ke Kediaman Rasmi Menteri Besar di Saujana bagi mengadakan perbincangan tertutup susulan pertemuan dengan Sultan Johor.
Setiausaha Kerja UMNO Johor, Pandak Ahmad yang ditemui di Pejabat UMNO Johor turut enggan mengulas lanjut apabila didekati pengamal media.
"Saya tidak boleh komen apa-apa. Maaf sangat-sangat ya.
"Tunggulah, jika ada sebarang pengumuman akan dimaklumkan Pejabat UMNO Johor nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!