'Tiada hujan, tiba-tiba rumah dinaiki air'
IPOH - Kira-kira 30 buah rumah di Kampung Seri Klebang Tambahan 2 dan Desa Seri Chepor, Chemor di sini pada Isnin dinaiki air akibat limpahan air Sungai Chepor berhampiran.
Penduduk, Mohd Faizal Che Hassan, 36, berkata, rata-rata penduduk tidak menjangkakan rumah dinaiki air sekitar jam 3.30 pagi berikutan keadaan cuaca yang baik dan tidak berlaku hujan lebat.
"Kami yang sedang tidur bergegas menyelamatkan barangan berharga termasuk dokumen penting selepas dimaklumkan paras air sungai mula meningkat.
"Dalam tempoh beberapa jam, air mula naik hingga paras dada. Ini kejadian pertama berlaku untuk tahun ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Kata Mohd Faizal, mereka tidak dapat tidur lena kerana bimbang rumah mereka dinaiki air lagi berikutan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula pada Isnin.
"Sudah 12 jam, air banjir masih belum surut sepenuhnya tetapi kami sudah mula kemas rumah. Barangan elektrik kami letakkan di tempat tinggi.
"Ayah pula dipindahkan di dewan berhampiran yang dijadikan penempatan sementara kerana keadaan rumah kami dipenuhi selut dan masih belum boleh diduduki lagi," katanya.
Dia yang bekerja tukang masak telah mengambil cuti selama seminggu untuk mengemas rumah.
Sementara itu, suri rumah, Nurul Afida Mohamed, 39, berkata, mereka sempat menyelamatkan pakaian tetapi perabot rumahnya rosak akibat terkena banjir.
"Kami mengetahui banjir kilat berlaku di Sungai Siput yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sini namun, tidak sangka beberapa jam kemudian lorong rumah kami pula dinaiki air.
"Air mula surut pada jam 9 pagi dan kami mula mengemas. Melihat keadaan cuaca sekarang, kami bimbang berlaku lagi banjir kilat," katanya.
Jelasnya, situasi banjir di kawasan itu sememangnya telah lama berlaku dan keadaan longkang yang sempit dipercayai menjadi salah satu penyebab kejadian itu kerana tidak mampu menampung kuantiti air hujan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!