Mujahid berlepas ke New Zealand petang ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof akan bertolak ke New Zealand pada 3.30 petang ini untuk bertemu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tembakan rambang di Christchurch Jumaat lepas.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Mujahid yang mewakili kerajaan Malaysia akan tiba di Christchurch esok dan bertemu keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi.

"Selepas bertemu keluarga mangsa, Mujahid juga akan menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah di salah sebuah masjid yang telah diserang serta menyampaikan khutbah Jumaat," demikian menurut kenyataan itu.

Difahamkan seluruh keluarga Allahyarham telah berada di Christchurch memandangkan bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, turut cedera dan menerima rawatan.

Mujahid menyeru agar semua masjid di seluruh Malaysia dapat mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham selepas selesai solat Jumaat esok.

Muhammad Haziq merupakan antara 50 orang yang terbunuh dalam tembakan rambang yang dilakukan oleh seorang lelaki ‘white supremacist’ (percaya bahawa hanya golongan kulit putih paling mulia) di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch.

Selain bapa Mohd Haziq, dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!