AYPG tidak disenarai dalam pemberian Shakam: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal - Foto Bernama
Ahmad Faizal - Foto Bernama
A
A
A

SUKAN Para Remaja Asia (AYPG) tidak diiktiraf oleh kerajaan untuk disenaraikan dalam pemberian insentif menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bercakap dalam sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat pada Isnin beliau berkata, AYPG tidak disenaraikan dalam pemberian Shakam disebabkan beberapa faktor antaranya temasya peringkat remaja itu tidak menetapkan sebarang syarat kelayakan penyertaan, sebaliknya tertakluk kepada kesediaan negara peserta membelanjakan peruntukan bagi menghantar atlet remaja para masing-masing.

Selain itu, beliau berkata, kelonggaran syarat klasifikasi menyebabkan beberapa kategori kecacatan digabungkan dalam satu acara dan penggabungan dilakukan dalam AYPG tidak menepati ketetapan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang hanya membenarkan penggabungan dua kategori, namun temasya itu membenarkan lebih daripada dua kategori digabungkan.

"Justeru, tidak afdal sekiranya kemenangan atlet tersebut diberikan insentif hadiah kemenangan. Bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah membiayai sepenuhnya penyertaan kontinjen Malaysia ke temasya tersebut di Bahrain yang melibatkan RM260,000 dan disalurkan melalui Majlis Paralimpik Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiang (PH-Kota Melaka) yang memohon pertimbangan semula kementerian untuk memberi insentif kemenangan dan pengiktirafan sepatutnya kepada atlet terlibat dalam temasya itu.

Ahmad Faizal berkata, pemberian Shakam adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria digariskan MSN seperti pengiktirafan oleh Persatuan Sukan Antarabangsa, kekerapan penganjuran, bilangan penyertaan negara, bilangan peserta dalam acara dan proses kelayakan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!