PKR tidak mati hanya kerana kalah tiga PRN
JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan mati hanya kerana kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, PKR juga tidak akan lumpuh sekali gus menolak dakwaan parti berkenaan sudah tidak ada masa depan lagi.
Bekas Pengerusi PKR Johor itu menjelaskan, PKR adalah parti reformasi dan berasaskan perjuangan, maka tidak akan sekali-kali mengalah atau tunduk dengan kekalahan.
"Ada hikmah kepada PKR setelah kalah dalam beberapa PRN. PKR akan segera mempelajari, menilai dan menganalisis keadaan untuk bangkit kembali menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 dengan strategi ampuh dalam menangani keadaan politik, ekonomi dan sosial semasa yang banyak berubah sekarang ini.
"PKR masih merupakan antara blok politik terbesar di Parlimen dengan memiliki jumlah ahli Parlimen yang ramai. Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi Ketua Pembangkang dan mengetuai Pakatan Harapan (PH)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.
Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, mereka yang berada di luar PKR boleh boleh bersuara supaya Anwar berundur setelah PKR dan PH kalah dalam tiga PRN berkenaan tetapi hanya anggota parti mempunyai hak dan keistimewaan jika mahu menjatuhkan beliau.
"Jika ada dalam kalangan anggota PKR merasakan Anwar sudah tidak lagi relevan, maka pemilihan parti pada April depan adalah masanya. Semua orang dalam PKR berhak mencabar Anwar sebagai calon Presiden.
"Tetapi masing-masing perlu bercermin diri. Misalnya dalam PRN Johor yang baharu berlalu ini, siapakah yang paling kuat berkempen untuk memenangi calon-calon PKR, jika bukan Anwar," jelasnya.
Anwar katanya, tidak akan melepaskan tanggungjawabnya pada rakyat dan negara dengan mudah kerana beliau seorang pejuang yang tahu tugas serta mempunyai sejarah panjang dalam politik semasa dalam kerajaan atau pembangkang.
"Jadi adalah satu kesilapan jika ada sesiapa menganggap Anwar sudah tidak lagi relevan dan PKR sudah tidak ada masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!