Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura capai 10 peratus
KUALA LUMPUR - Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura telah mencapai kadar 10 peratus melibatkan reka bentuk infrastruktur dan kerja pengambilan tanah.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beberapa proses lain melibatkan kerja tanah, pengalihan utiliti dan cerucuk bagi projek berkenaan juga sedang berjalan.
"Bagi Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Kementerian Pengangkutan diberi tanggungjawab untuk memulakan perbincangan bersama kerajaan Singapura mengikut terma baharu dan perbincangan awal dijangka berlangsung pada suku tahun kedua.
"Hasil lawatan Perdana Menteri ke Thailand pada 25 Februari lalu, kementerian juga sedang meneroka kemungkinan mengadakan kajian kebolehlaksanaan HSR dari Kuala Lumpur ke Bangkok," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakya pada Isnin.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan mengembalikan stesen Projek Rel Pantai Timur (ECRL), Ka Siong memaklumkan, semakan semula jajaran Seksyen A melibatkan laluan Kota Bharu-Dungun telah diluluskan dengan jumlah dan lokasi stesen di Kelantan sudah dmuktamadkan.
"Pemilihan stesen ditentukan mengikut pelbagai faktor seperti kos pembinaan, populasi, ketersambungan dengan mod pengangkutan lain, fungsi stesen (untuk tren kargo atau tren penumpang) dan sebagainya.
"Oleh kerana projek ini turut melibatkan pembiayaan antarabangsa, maka projek ECRL perlu dilaksanakan berdasarkan kelulusan ini selain pelaksanaannya kelak tertakluk kepada keupayaan kewangan negara pada masa tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!