Pembinaan rumah tepi tebing, cerun diberi lebih perhatian

Roziah (tengah) diiringi Ketua Kampung Baru Hicom, Abdul Malik Abdul Rashid (kanan) ketika melawat ke rumah penerima bantuan baik pulih rumah pada Isnin.
Roziah (tengah) diiringi Ketua Kampung Baru Hicom, Abdul Malik Abdul Rashid (kanan) ketika melawat ke rumah penerima bantuan baik pulih rumah pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memberi lebih perhatian terhadap perancangan pembinaan perumahan di tepi tebing dan cerun bukit di negeri itu bagi menjamin keselamatan daripada kejadian tanah runtuh.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, spesifikasi pembinaan rumah di kawasan berkenaan sebenarnya sudah lama dikuatkuasakan.

Bagaimanapun beliau berkata, Taman Bukit Permai 2 di Ampang yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh pada Khamis lalu telah dibina sebelum penguatkuasaan itu dilaksanakan di Selangor.

"Kalau tidak silap saya, (projek perumahan terbabit dalam) kejadian tanah runtuh (di Taman Permai 2) itu dibina pada 2005, masa itu penguatkuasaan itu belum lagi (dilaksanakan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat ke rumah penerima bantuan baik pulih rumah di Kampung Baru Hicom di sini pada petang Isnin.

Pada Khamis, kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan serta turut menjejaskan 15 rumah serta 10 kenderaan.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun mengakui beberapa siri kejadian tanah runtuh yang berlaku di negeri ini amat membimbangkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shaari telah mengambil beberapa usaha termasuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel Berkaitan:

"Bahagian kejuruteraan setiap PBT di Selangor juga telah diarahkan untuk melihat keadaan kestabilan cerun-cerun yang ada terutamanya di kawasan-kawasan yang sensitif di negeri ini.

"Dahulu kita juga telah telah menguatkuasakan cerun kelas tiga dan empat tidak dibenarkan langsung buat mana-mana projek perumahan dan ia kekal sampai sekarang," katanya.

Malah beliau berkata, beberapa jangkaan projek perumahan kerajaan negeri dengan status strata berdekatan dengan cerun dan sungai juga ditukar kepada status 'townhouse' agar lebih selamat.

"Maknanya tidak naik tinggi, yang berkaitan dengan cerun dan dekat dengan sungai jadi yang itu, yang kita tahu sensitif namun ada juga dekat dengan sungai tetapi tidak sensitif masih diteruskan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!