'PRU15 sesuai diadakan Julai ini' - Azhari
SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpendapat bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sesuai diadakan pada bulan Julai tahun ini.
Menurutnya, ia sesuai pada bulan tersebut berikutan selepas Hari Raya Aidilfitri dan penamatan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) antara pihak pembangkang dengan kerajaan.
"Memang waktu sesuai (adakan PRU15 pada Julai) kerana kita pun tak boleh tunggu sampai hujung tahun berikutan berlakunya pemilihan jawatan di semua peringkat cawangan, bahagian dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk penggal seterusnya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Azhari turut mengulas desas-desus bahawa Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan jadi medan mendesak PRU15 dipercepatkan..
Ujarnya, walaupun perhimpunan tersebut adalah platform terbaik untuk beri pandangan bagi membubarkan Parlimen, namun terpulang kepada jurucakap dari negeri-negeri lain yang mempunyai hujah tersendiri.
"Ia bukan hanya berkisar tentang desak kerajaan bubar Parlimen, tapi ia menjadi platform untuk bangkitkan semangat selepas beberapa PRN sebelum ini. Jadi momentum itu mesti dikekalkan supaya jentera-jentera lebih fokus untuk menghadapi pilihan raya yang lebih besar.
"Saya berandaian akan ada beberapa jurucakap yang membawa suara dari negeri masing-masing, saya tidak boleh bercakap untuk pihak lain sama ada mereka setuju bubar tahun ini atau pandangan yang berbeza.
"Terserah kepada pucuk pimpinan, tapi matlamatnya, pilihan raya mesti diadakan dalam masa terdekat selewat-lewatnya pada tahun ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!