Tragedi MH17: Australia, Belanda mulakan proses undang-undang
KUALA LUMPUR - Australia dan Belanda pada Isnin memulakan proses undang-undang terhadap Persekutuan Rusia di Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) kerana menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.
"Sejak Mei 2018 kami beranggapan bahawa Persekutuan Rusia bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa kerana menembak jatuh pesawat MH17," memetik kenyataan bersama yang dikeluarkan Menteri Luar Australia, Senator Marise Payne, Perdana Menteri, Scott Morrison dan Peguam Negara, Senator Michaelia Cash pada Isnin.
Kenyataan itu disediakan kepada Bernama oleh Suruhanjaya Tinggi Australia ke Malaysia.
Tindakan bersama Australia dan Belanda pada Isnin merupakan langkah besar dalam perjuangan untuk menuntut kebenaran, keadilan dan akauntabiliti susulan tragedi mengerikan itu yang meragut nyawa 298 mangsa, 38 daripadanya adalah rakyat Australia, menurut kenyataan itu.
Australia dan Belanda yakin dengan bukti MH17 ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu Rusia yang dari kawasan timur Ukraine yang berada di bawah kawalan tentera pemisah disokong Rusia dan disertai krew tentera Rusia.
Dalam kejadian pada 17 Julai 2014 itu, pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, sebelum ia ditembak jatuh di timur Ukraine.
Media antarabangsa melaporkan Moscow sentiasa menafikan penglibatannya dengan pelbagai teori yang ditolak penyiasat antarabangsa kerana tidak disokong dengan bukti.
Menurut kenyataan itu lagi, keputusan dalam perbicaraan pembunuhan, melibatkan tiga warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine yang masih bebas, dijangka pada akhir tahun ini.
Pada Oktober 2020, Rusia secara sepihak menarik diri daripada rundingan dengan Australia dan Belanda berhubung nahas MH17, dan enggan kembali ke meja rundingan meskipun diminta berulang kali oleh Australia dan Belanda.
"Keengganan Persekutuan Rusia untuk bertanggungjawab adalah tidak boleh diterima dan kerajaan Australia akan sentiasa berusaha untuk mencari keadilan.
"Tindakan bersama hari ini di bawah Perkara 84 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa, tambahan kepada pendakwaan Belanda terhadap empat suspek yang terbabit menembak jatuh MH17.
"Walaupun kita tidak boleh menghapuskan kesedihan mereka yang kehilangan orang tersayang, kerajaan Australia akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan Rusia dipertanggungjawabkan supaya tragedi ngeri itu tidak berulang," menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!