Ibu, bayi dalam kandungan korban serangan ganas Rusia
KIEV - Seorang wanita hamil yang cedera selepas sebuah hospital materniti di bandar Mariupol dibedil pada Rabu lalu dilaporkan meninggal dunia, menurut pakar bedah yang merawat mangsa pada Isnin.
Timur Marin berkata, mereka terpaksa melakukan pembedahan ke atasnya, namun bayi yang dikandungnya sudah tidak bernyawa.
"Usaha pemulihan kecemasan ke atas kedua-duanya selama lebih setengah jam gagal menyelamatkan mereka," ujarnya kepada stesen TV Ukraine.
Pasukan perubatan tidak sempat mendapatkan butiran peribadi wanita tersebut kerana suami dan bapanya segera menuntut mayatnya.
Gambar diambil Associated Press memaparkan kakitangan kecemasan mengusung seorang wanita sarat hamil dan cedera yang turut mengundang rasa sayu serta menjadi tumpuan media di seluruh dunia termasuk CNN.
Menerusi laporan beberapa media, sekurang-kurangnya tiga termasuk seorang kanak-kanak terkorban dalam serangan ganas tersebut yang berlaku selepas Rusia bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama 12 jam bagi membolehkan orang awam dipindahkan di bawah koridor kemanusiaan.
Kempen pengeboman ke atas bandar tenggara Ukraine itu semakin sengit setelah ia dikepung sejak minggu lalu sehingga meragut hampir 2,200 nyawa selain kebanyakan penduduk yang masih terperangkap berdepan krisis kemanusiaan yang dijangka bertambah buruk. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!