Masalah gaji KL City selesai sebelum berdepan JDT

Stanley (kanan) bersama Bojan Hodak ketika meraikan kejayaan KL City muncul juara Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil musim lalu.
Stanley (kanan) bersama Bojan Hodak ketika meraikan kejayaan KL City muncul juara Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil musim lalu.
A
A
A

ISU tunggakan gaji yang membelenggu Kuala Lumpur (KL) City FC akan diselesaikan dan situasi kembali seperti normal sebelum The City Boys berdepan penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super bulan depan.

Itu jaminan Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard sambil menyifatkan situasi dihadapi juara Piala Malaysia kendalian Bojan Hodak bukan suatu perkara baharu.

Malah menurut Stanley, situasi tunggakan gaji pernah berlaku pada musim lalu, namun berjaya diselesaikan dengan cara baik pengurusan pasukan.

"Ya, ini bukan kali pertama berlaku sebab pernah berdepan situasi sama musim lalu semasa kempen Piala Malaysia, cuma tidak diwar-warkan seperti sekarang.

"Yang bagusnya apabila berdepan situasi sebegini, KL City sudah ada jawapan untuk barisan kejurulatihan dan pemain malah mereka tahu duit itu ada tetapi di luar sana serta boleh diselesaikan.

"Minggu ini kita akan bayar apa yang patut dibayar dan saya beri jaminan perkara ini akan diselesaikan sebelum KL City berdepan JDT dalam perlawanan Liga Super," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Skuad Hodak sebelum ini dilanda gelora selepas desas-desus naib juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah tersebut berdepan tunggakan gaji sejak Januari lalu.

The City Boys yang kini menduduki tangga ketujuh liga dengan satu mata selepas mengharungi dua perlawanan akan menunggu JDT di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 6 April depan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Stanley berterima kasih kepada barisan kejurulatihan dan para pemain The City Boys yang profesional ketika berdepan situasi ini.

"Barisan kejurulatihan dan para pemain bersatu hati mengwujudkan keharmonian dalam bilik persalinan, inilah yang mengekalkan tahap disiplin dan tumpuan pasukan kepada saingan Liga Malaysia (Liga-M).

"Culture dalam KL City ini cukup amat berbeza jika dibandingkan situasi saya ketika betmain dengan pasukan lain yang tidak membayar gaji sampai enam bulan sebelum ini.

"Komunikasi antara pengurusan dengan para jurulatih dan pemain sentiasa telus, kerana dalam kalangan kami sentiasa bersama," katanya.

Tambah Stanley lagi, pada penghujungnya pengurusan pasukan perlu membalas semula kepercayaan yang diberikan pasukan dalam bentuk keputusan positif dalam saingan Liga-M dengan memberikan perkara yang menjadi hak mereka.

"In the end barisan kejurulatihan dan pemain berharap kepada saya, kerana mereka tahu politik ini boleh berubah, namun ketua pegawai eksekutif masih orang sama memikul tanggungjawab menguruskan pasukan.

"Apabila mereka mengembalikan kepercayaan kepada saya, menjadi satu kewajipan untuk saya membalas kepercayaan mereka semua," katanya.

Ditanya mengenai desas-desus statusnya sebagai ketua pegawai eksekutif KL City FC, Stanley berkata, beliau menyertai The City Boys tidak mengunakan pengaruh politik sebaliknya secara merit sebagai orang bola sepak.

"Apabila seseorang ketua pegawai eksekutif ini tidak terlibat dengan orang politik, itulah maknanya penswastaan kelab bola sepak sebenarnya.

"Itulah sebab perlunya penswastaan kelab yang akan jadi bullet proof politics sebab sebarang perubahan landskap politik tidak akan menjejaskan operasi kelab, sekiranya itu berlaku di KL City, ia sesuatu yang bagus.

"Namun pada masa sama saya akui kelab juga memerlukan kerjasama erat dan sokongan berterusan dalam kalangan orang politik dalam aspek penajaan dan dana bagi memastikan kesinambungan sejarah dan legasi kelab pada masa depan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!