Isu harga sawit, gamatkan Dewan
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat gamat pagi ini, susulan penjelasan Menteri Industri Utama Teresa Kok (PH-Seputeh) berhubung isu sawit yang disifatkan Ahli Dewan sebagai 'lari' daripada permasalahan utama komoditi itu, iaitu berhubung penurunan harga sawit ketika ini.
Kok yang memberi penerangan bahawa eksport minyak sawit Malaysia bagi bulan Januari sehingga Februari 2019 telah meningkat, dicelah oleh Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang menyifatkan kenyataan Kok itu sebagai 'syok sendiri' sedangkan permasalahan yang dihadapi peneroka sekarang adalah harga sawit yang terlalu rendah sehingga memberi kesan kepada kehidupan peneroka.
"Harga sawit itu yang penting," jelas Noraini.
Menjawab pertanyaan Noraini itu, Kok berkata harga sawit sudah meningkat berbanding tahun lepas.
"Sebenarnya pada tahun ini harga sawit meningkat pada Januari dan Februari berbanding Disember tahun lepas iaitu RM1794.50 satu tan sementara harga Januari purata RM2370.00 satu tan," tegasnya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mendengar penjelasan Kok itu, Noraini menjawab bahawa "Tidak tahu sebab itu tanya,".
Sementara itu kelihatan beberapa Ahli Dewan cuba untuk bangun bagi mendapatkan penjelasan lanjut namun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid meneruskan sesi Dewan dengan melanjutkan pertanyaan jawab lisan soalan daripada Ahli Parlimen yang seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!