Bekas ADUN Rembia hidap kanser meninggal dunia
MELAKA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Norpipah Abdol meninggal dunia di Institut Kanser Negara, Putrajaya pada awal pagi Selasa.
Allahyarhamah berusia 68 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.42 pagi ketika mendapatkan rawatan di institusi berkenaan.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman mengesahkan perkara itu dan beliau dimaklumkan mengenai pemergian Allahyarhamah menerusi kumpulan WhatsApp UMNO Bahagian itu.
Menurutnya, sejak Isnin mereka telah dikhabarkan keadaan Allahyarham yang nazak dan Allahyarham disahkan menghidap kanser sejak 2018 selain turut positif Covid-19.
"UMNO Bahagian Alor Gajah rasa kehilangan Allahyarhamah yang banyak berjasa dan kita juga telah kehilangan beberapa lagi pemimpin parti ini sebelum ini termasuk bekas ADUN Asahan, Datuk Seri Ghaafar Atan yang meninggal dunia pada November lalu.
"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Allahyarham meninggalkan suami serta dua orang anak.
Jenazah Norpipah dibawa pulang ke Melaka dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan pada jam 11.30 pagi.
Norpipah menjadi ADUN Rembia selama tiga penggal bermula 2004 hingga 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!