Rusia dakwa Ukraine bertanggungjawab ekoran 23 orang awam maut
MOSCOW - Rusia mendakwa pada Isnin bahawa serangan oleh tentera Ukraine ke atas kubu kumpulan pemisah pro-Moscow di Donetsk, timur Ukraine telah menyebabkan 23 orang maut.
Ia juga menuduh tentera Ukraine melakukan jenayah perang.
Moscow menuduh tentera Ukraine melakukan serangan itu dengan menggunakan peluru berpandu Tochka-U di kawasan perumahan di Donetsk.
Ia merupakan salah satu serangan yang paling serius di bandar itu sejak Rusia menghantar tentera ke negara berkenaan sejak lebih dua minggu lalu.
Presiden Rusia, Vladimir Putin turut membincangkan serangan tersebut dengan Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, kata Moscow dalam satu kenyataan.
Kumpulan pemisah pro-Rusia dan menguasai kota berkenan sejak tahun 2014 sebelum ini menyatakan serpihan daripada peluru berpandu yang berjaya ditembak olehnya itu telah menyebabkan antara 16 dan 20 orang awam maut.
Jawatankuasa Penyiasatan Rusia yang menyiasat jenayah serius, telah meningkatkan angka korban dengan menyatakan sekurang-kurangnya 23 orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh dan 18 orang lagi cedera.
Para penyiasat itu menyatakan pihaknya telah membuka siasatan jenayah berhubung perkara tersebut.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan bahawa 20 orang telah meninggal dunia dan 28 orang telah dimasukkan ke hospital.
"Penggunaan peluru berpandu Tochka-U di sebuah kota yang mana tidak ada pasukan penembak angkatan bersenjata adalah merupakan jenayah perang," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov.
Saluran Telegram rasmi kumpulan pemisah pro-Rusia menyiarkan foto dan video akibat serangan yang menggunakan senjata tersebut sekali gus menunjukkan kereta-kereta terbakar, mayat-mayat di jalan-jalan raya dan kerosakan-kerosakan pada kedai. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!