MBSJ tambah tiga bot penyelamat hadapi banjir
Mempunyai spesifikasi berdasarkan kesesuaiannya dalam operasi keselamatan dan menyelamat serta tahan lasak.
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menambah tiga bot penyelamat bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan membabitkan semua aspek termasuk menampung penggunaan ketika musim banjir.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, penambahan aset itu bertujuan membantu anggota menyalurkan bantuan awal kes kecemasan dan bencana sebelum agensi keselamatan tiba.
"Kecenderungan banjir di beberapa kawasan secara serentak menyukarkan kerja-kerja bantuan kecemasan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Azfarizal berkata, tiga bot penyelamat itu mempunyai spesifikasi berdasarkan kesesuaiannya dalam operasi menyelamat serta tahan lasak.
"MBSJ turut meningkatkan pemantauan di tapak terutama di kawasan mudah banjir selain memastikan penyelenggaraan saliran dan longkang dilaksanakan secara berkala bagi mengelakkan risiko banjir kilat atau banjir," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya peka dengan amaran cuaca sekali gus sentiasa bersedia jika berlaku kejadian hujan lebat yang berpotensi membawa fenomena seperti banjir kilat dan tanah runtuh.
"Sebarang aduan atau kecemasan boleh disalurkan terus kepada Pusat Kawalan Subang Jaya di talian 03 8024 7700," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!