PRAB perlu simulasi ramal banjir lebih tepat
SHAH ALAM - Pelaksanaan Program Ramalan Amaran Banjir (PRAB) di Selangor memerlukan simulasi bagi membolehkan ramalan lebih tepat terhadap bencana itu.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Selangor, Izham Hashim mendakwa, kurang berpuas hati dengan amaran dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini kerana hanya pada tahap berjaga-jaga.
"Tiada amaran yang memberi gambaran banjir besar akan berlaku.
"PRAB digunakan bersama ramalan oleh METMalaysia, tetapi dari segi impak ini, ia akan dilakukan di bawah program PRAB.
"Kalau kita lihat pada Disember lalu, amaran diberi tetapi lebih kepada berjaga-jaga dan tiada amaran gambaran banjir besar. Kita harap ia dapat diperbaiki namun lebih penting di bawah PRAB, kita perlukan simulasi."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San berkenaan langkah kerajaan Selangor meramal banjir lebih awal semasa Sidang DUN di Dewan Negeri Selangor di sini pada Selasa.
Izham turut memaklumkan, program berkenaan sebelum ini tidak berfokus di Selangor, sebaliknya di negeri yang sering dilanda banjir seperti Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu, Izham berkata, pelaksanaan simulasi juga memerlukan profil topografi semua sungai dan kawasan muka bumi di Selangor supaya ramalan banjir lebih tepat susulan perubahan iklim sejak kebelakangan ini.
"Fenomena yang sangat luar biasa contohnya di Shah Alam menerima lebih 300 milimeter (mm) dan hilir sungai hampir 500mm menyebabkan rancangan tebatan banjir tidak dapat dilaksanakan menggunakan kaedah konvensional.
"Perubahan iklim ini cukup luar biasa memerlukan pemprofilan topografi seluruh sungai dan muka bumi di Selangor bagi membolehkan simulasi dan melihat kesan aliran air dan banjir jika berlaku hujan.
"Tanpa maklumat tersebut kita tidak berupaya melakukan simulasi tersebut kerana ia mengambil masa yang lama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!