QSR Brands umum empat pengarah bebas baharu
SHAH ALAM - QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) mengumumkan penambahan empat pengarah bebas baharu dalam Lembaga Pengarah QSR Brands.
Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, pelantikan tersebut bakal membawa perspektif baharu dan kepelbagaian kepada syarikat dari segi kemahiran, latar belakang, bangsa, pengalaman, industri serta jantina.
Menurutnya, di bawah pengurusan baharu pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Nehchal Khanna, QSR Brands melaksanakan transformasi yang membawa percambahan nilai kepada syarikat sepanjang dua tahun yang cukup mencabar.
“Tiga ahli lembaga baharu ialah bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IBM Malaysia, Chong Chye Neo; Pengarah Bursa Malaysia Berhad, Khoo Gaik Bee; bekas Ketua Sumber Manusia di beberapa syarikat terkemuka serta Pengarah Axiata Group Berhad, Foong Pik Yee," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jamaludin turut memberitahu, Pik Yee juga merupakan bekas Ketua Pegawai Kewangan di beberapa syarikat terkemuka dan Pengarah Ambank (M) Berhad, Paramount Corporation Bhd dan Prudential Assurance Malaysia Berhad.
“QSR Brands akan melantik seorang ahli lembaga pengarah baharu dari luar negara, seorang bekas Ketua Makanan Segera Serantau yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
“Pengumuman ini merupakan satu langkah transformasi dalam pentadbiran termasuk komposisi, kepelbagaian, proses keputusan, pengurusan risiko dan kawalan, pengurusan pembangunan modal insan serta kelestarian,” katanya.
Jamaludin berkata, pelantikan tersebut secara keseluruhannya bakal membawa penyeliaan strategik kepada QSR Brands dan mengikut Standard Emas Pentadbiran Korporat.
Tambah beliau, Chong Chye Neo dan Khoo Gaik Bee memulakan perkhidmatan pada Mac tahun ini manakala Foong Pik Yee bakal berkhidmat pada 1 April dan ahli lembaga keempat pula akan menyertai syarikat dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!