Penghuni 72 rumah di Taman Bukit Permai 2 diarah pindah
SHAH ALAM - Penghuni 72 unit rumah di kawasan perumahan Taman Bukit Permai 2, Ampang diarah berpindah ekoran kawasan cerun di lokasi tersebut didapati tidak selamat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan kajian kawasan tersebut diterima daripada Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Ani Ahmad pada Isnin.
Menurutnya, hasil daripada kajian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), sebahagian kawasan di atas cerun iaitu Taman Bukit Permai 1, Ampang turut dikenal pasti berisiko terdedah kepada runtuhan.
"Mungkin sebahagiannya di atas (Taman Bukit Permai 1), tapi pada awalnya ada 48 rumah (berisiko ditimpa tanah runtuh). Hasil kajian itu mengenal pasti ada 72 unit rumah terutamanya di bahagian bawah yang berisiko tinggi kalau dibiarkan dengan keadaan hujan dan pergerakan tanah kecil dikesan.
"Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hulu Langat akan mengeluarkan arahan untuk pengosongan di rumah-rumah terbabit sebab kita perlu segera lakukan perkara itu untuk elakkan perkara-perkara selanjutnya berlaku.
"Setelah itu barulah disusuli dengan usaha pembaikan dan juga pemulihan cerun tersebut yang akan dilakukan secepat mungkin, cuma kosnya kita sedang tunggu," katanya ketika ditemui di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor, di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Amirudin memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) solat tarawih akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada hujung Mac ini.
Ujarnya, SOP tersebut akan dibentangkan hasil daripada perbincangan oleh pihak kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
"Pihak JAIS telah mencadangkan beberapa kaedah tertentu dan sudah pasti kita mengambil kira pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan yang membenarkan kedudukan saf rapat dan sebagainya.
"Sebelum akhir bulan ini (persembah SOP solat tarawih), memang dah ada jadualnya dan itu adalah kuasa baginda, saya tidak boleh umumkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!