Mahkamah putuskan Kes Mohamad Thaqif akibat kencing tikus
JOHOR BAHRU - Mahkamah Koroner, di sini, hari ini memutuskan kematian seorang pelajar sekolah tahfiz di Kota Tinggi, dua tahun lalu adalah disebabkan penyakit komplikasi berkait kencing tikus.
Pelajar berkenaan, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi disahkan meninggal dunia pada 26 April 2017 kerana mengalami kemerosotan kesihatan.
Hakim, Jailani Abd Rahman yang bersidang sebagai Koroner membuat keputusan itu selepas meneliti dan menilai keterangan saksi dan fakta kes dikemukakan sepanjang perbicaraan.
“Setelah meneliti semua keterangan yang diketengahkan di hadapan saya dan berpuas hati terhadapnya, kematian Mohamad Thaqif adalah disebabkan Acute Infectious Purpura Fulminans Complicating Leptospirasis (Penyakit Komplikasi Berkait Kencing Tikus).
“Keputusannya, kematian Mohamad Thaqif adalah sebagai nahas dan tiada siapa bertanggungjawab secara jenayah sama ada dengan perbuatan atau peninggalan terhadap kematian beliau,” katanya ketika penghakiman tersebut.
Jailani berkata, mahkamah turut berpendapat penyebaran jangkitan itu berkemungkinan selari dengan keterangan saksi yang memaklumkan si mati sebelum itu ada berkunjung ke sebuah kolam.
“Keterangan melalui ibu, ayah dan bapa saudara mengatakan si mati (Mohamad Thaqif) dan beberapa orang sepupu ke sebuah kolam mandi di Jalan Mawai pada 22 atau 23 Mac, tetapi saksi tidak dapat mengingati tarikh sebenar si mati ke kolam berkenaan, katanya.
Selain itu, katanya, mahkamah turut menimbang hukuman (dipukul) dikenakan terhadap Mohamad Thaqif semasa di madrasah berkenaan.
"Bukan sahaja si mati yang dikenakan hukuman, tetapi semua pelajar turut dikenakan hukuman sama dan hukuman dijalankan ketika berdiri sambil si mati mengangkat kaki.
"Keterangan ibu si mati juga tiada menemui kesan lebam pada kaki ketika mendaftar keluar anaknya dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan hukuman dibuat bersifat minima,” katanya.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Roslan Mat Nor dan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi'uddin.
Inkues kematian Mohamad Thaqif bermula pada 10 April tahun lalu dengan keterangan saksi pertama iaitu Pengetua Madrasah Tahfiz sehingga 29 Januari lalu.
Seramai 18 saksi dipanggil dan 63 eksibit dikemukakan sepanjang prosiding inkues dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!