Pasaran pekerjaan dijangka melantun: Perkeso

Mohammed Azman
Mohammed Azman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjangkakan pasaran pekerjaan kembali ke paras sebelum pandemik tidak lama lagi disokong oleh pemangkin ekonomi yang kukuh, kestabilan dan pembukaan semula ekonomi secara penuh.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sumbangan utama yang membawa kepada lantunan semula ekonomi Malaysia yang kukuh adalah menerusi pelbagai inisiatif kerajaan untuk menyokong ekonomi dan tenaga kerja, beserta dengan moratorium kewangan dan pengeluaran tunai daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kami gembira melihat pasaran pekerjaan mencatatkan lantunan semula bulan ke bulan yang kukuh dan kami yakin menerusi pelbagai inisiatif seperti MYFutureJobs oleh Kementerian Sumber Manusia, lebih banyak pekerjaan akan diisi dan secara perlahan-lahan kita pasti akan dapat mencapai paras sebelum pandemik,” katanya kepada Bernama.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penganggur di negara ini turun 1.1 peratus daripada 687,600 pada Disember 2021, manakala perangkaan terkini pada 9 Mac, 2022 menunjukkan kadar pengangguran berada pada 4.2 peratus.

Situasi pekerjaan Malaysia terus bertambah baik pada Januari tahun ini dengan hanya 680,400 yang masih menggangur, paras terendah sejak sekatan pergerakan bermula pada Mac 2020.

Mohammed Azman berkata dengan Bank Negara Malaysia optimis unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar berada dalam jajaran 6.0 peratus hingga 7.5 peratus pada 2022, sektor ekonomi dijangka kembali semula ke paras sebelum pandemik dan justeru itu, lebih banyak peluang pekerjaan bakal diwujudkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, Perkeso telah menganjurkan pelbagai karnival pekerjaan di seluruh negara sejajar dengan inisiatif JaminKerja yang bakal menyediakan 600,000 peluang pekerjaan.

"Meskipun tempoh sukar hampir berakhir, kami di Perkeso melihat kembali kepada operasi kami bagi memastikan keselamatan sosial diperkukuh dari semasa ke semasa untuk memastikan kita mampu bertahan mendepani satu lagi cabaran ekonomi pada masa depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara inisiatif utama yang menyelamatkan pekerja semasa pandemik adalah Skim Insurans Pekerjaan (EIS), yang kali pertama diperkenalkan pada 2017, untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaaan dengan menyediakan bantuan kewangan dan mencari pekerjaan dengan segera.

Menerusi EIS, individu yang terkesan akan dapat menerima bantuan bagi tempoh tiga hingga enam bulan. Bantuan itu berfungsi sebagai pendapatan gantian bagi mereka yang kehilangan satu-satunya sumber pendapatan mereka.

"Pada masa depan, kami berharap lebih ramai orang, terutamanya mereka yang terlibat dalam ekonomi gig akan menyedari kepentingan keselamatan sosial terutamanya dalam mewujudkan jaringan keselamatan semasa tempoh-tempoh sukar,” kata Mohammed Azman.

Baru-baru ini, Perkeso mendapat pengiktirafan daripada International Social Security Association (ISSA) bagi Program Sinergi Sosialnya, satu inisiatif bagi mewujudkan ekosistem jaringan sosial yang melibatkan 17 rakan kongsi strategik terdiri daripada agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan serta bagi inisiatif MYFutureJobs dalam memperkasakan peluang pekerjaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!