Alat pengesan logam digunakan kesan bangkai jengkaut

Pasukan bomba dan SMART menjalankan operasi di lokasi runtuhan batu kuari di Simpang Pulai. - Foto ihsan JBPM Perak
Pasukan bomba dan SMART menjalankan operasi di lokasi runtuhan batu kuari di Simpang Pulai. - Foto ihsan JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pekerja kuari akan menggunakan alat pengesan logam bagi mengesan bangkai jengkaut dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands di sini.

Timbalan Komander Operasi 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Umrani Che Mat berkata, alat pengesan logam akan digunakan bagi mengenal pasti kedudukan jentera berat itu bersama mangsa setelah kerja-kerja mengalihkan batu selesai dilakukan.

Menurutnya, alat itu dipercayai dapat mengesan bangkai jengkaut di kedalaman antara lima hingga enam meter.

"Kita percaya mangsa mungkin berada berdekatan dengan jengkaut, jadi alat pengesan logam akan digunakan sekurang-kurangnya esok.

"Kita berjaya membuka laluan hingga ke lokasi mangsa berada, namun kerja-kerja mengalih batu masih dijalankan kerana kedudukan mangsa dipercayai sedalam 15 hingga 20 meter.

"Apabila kedalaman itu berkurangan sehingga 10 meter, kemungkinan alat pengesan logam itu boleh mengesan lebih tepat kedudukan jengkaut itu," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Razman (tiga dari kiri) meninjau usaha menyelamat yang dijalankan pasukan bomba di lokasi runtuhan batu kuari membabitkan dua mangsa di Simpang Pulai. - Foto ihsan pembaca
Razman (tiga dari kiri) meninjau usaha menyelamat yang dijalankan pasukan bomba di lokasi runtuhan batu kuari membabitkan dua mangsa di Simpang Pulai. - Foto ihsan pembaca

Sebelum itu, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria yang mewakili kerajaan negeri melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi mendengar taklimat operasi SAR yang memasuki hari kelapan di sini.

Artikel Berkaitan:

Umrani berkata, pasukan penyelamat turut meratakan sebahagian kawasan untuk dijadikan tempat berlindung.

"Di samping pasukan melakukan pencarian, kita membuat laluan tambahan yang tembus di belakang runtuhan untuk dijadikan lokasi perlindungan.

"Sekiranya berlaku runtuhan di luar jangkaan seperti dinding-dinding baru jatuh, anggota kita akan berlindung di sebelah sana," katanya.

Sinar Harian melaporkan pasukan penyelamat tidak mengesan sebarang petunjuk baharu sama ada membabitkan bau mahupun bangkai jengkaut di lokasi dua mangsa tertimbus sejak Selasa minggu lalu.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, dua mangsa tersebut dikenal pasti sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Operasi SAR melibatkan anggota dan pegawai termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia (STORM), Unit Anjing Pengesan (K9), Unit Dron dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!