RUU Profesion Kerja Sosial pada peringkat akhir
PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini dalam peringkat akhir penggubalan draf Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, undang-undang tersebut akan membolehkan profesion kerja sosial diiktiraf melalui pendaftaran dan perakuan amalan yang dikawal selia oleh Majlis Profesion Kerja Sosial.
Selain itu, beliau berkata, KPWKM melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam juga telah memberi keutamaan kepada kursus-kursus berkaitan kerja sosial pada peringkat diploma dan ijazah pertama yang ditawarkan oleh universiti awam dan swasta.
Katanya, antara kursus berkenaan, yang menjadi kelayakan akademik bagi penjawat awam Gred S29 dan S41, ialah pengurusan kerja sosial, psikologi kanak-kanak dan keluarga, pendidikan awal kanak-kanak dan sains sosial dengan pengkhususan dalam pengajian kerja sosial dan pembangunan manusia.
"Sehingga 11 Mac 2022, KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai seramai 3,791 orang pegawai Skim Sosial (Skim S) yang menjalankan praktis kerja sosial kepada kumpulan sasar jabatan," katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Kerja Sosial 2022 yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Rina berkata, komitmen Malaysia khususnya KPWKM terhadap profesion kerja sosial ini tidak terhad kepada inisiatif yang dijalankan di peringkat nasional, malah di peringkat antarabangsa, Malaysia berperanan aktif dalam Konsortium Kerja Sosial ASEAN (ASWC).
Katanya, Malaysia telah diberi kepercayaan menerusi pelantikan dan pengiktirafan JKM sebagai Ahli Lembaga Pengurus Pusat Latihan Sosial untuk Kerja Sosial dan Kebajikan Sosial ASEAN (ATCSW).
Selain itu, Rina berkata adalah menjadi harapan KPWKM agar program yang telah dirangka menerusi kolaborasi antara kementeriannya, JKM, Institut Sosial Malaysia (ISM), Persatuan Pekerja Sosial Malaysia serta universiti awam dan swasta sempena Hari Kerja Sosial tahun ini dapat meningkatkan pemahaman orang awam mengenai kerja sosial khususnya dan profesion kerja sosial secara amnya.
Tema sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia 2022 ini ialah Bersama Membina Eko-Sosial Baharu Dunia: Tiada Yang Tertinggal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!