Wanita ditinggalkan di hospital waktu lahir berhak dapat kerakyatan

Mahkamah Rayuan memutuskan seorang wanita berusia 23 tahun yang lahir dan ditinggalkan di hospital swasta sebelum diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa warga Malaysia, berhak mendapat kerakyatan Malaysia. - Gambar hiasan
Mahkamah Rayuan memutuskan seorang wanita berusia 23 tahun yang lahir dan ditinggalkan di hospital swasta sebelum diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa warga Malaysia, berhak mendapat kerakyatan Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan seorang wanita berusia 23 tahun yang lahir dan ditinggalkan di hospital swasta sebelum diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa warga Malaysia, berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Hakim Datuk S. Nantha Balan yang membacakan keputusan majoriti itu berkata, wanita tersebut berhak menjadi warganegara Malaysia mengikut undang-undang, berdasarkan kelahirannya dalam persekutuan Malaysia, menurut Perkara 14(1)(b), Seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata mahkamah juga memberikan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Pendaftar Besar bagi Kelahiran dan Kematian Malaysia yang mengeluarkan dan menandatangani sijil kelahiran wanita itu sebagai bukan warganegara.

Mahkamah turut memberikan perintah mandamus yang dimohon oleh wanita itu mengarahkan responden (Pendaftar Besar bagi Kelahiran dan Kematian Malaysia) untuk mengeluarkan semula sijil kelahiran dan mendaftarkan wanita itu sebagai warganegara.

"Fakta menunjukkan bahawa wanita itu ditinggalkan.

Kami tidak mengambil kira bahawa pembayaran dibuat kepada perantara yang tidak dikenali, mengurangkan fakta bahawa bayi ditinggalkan ibu bapa kandungnya.

"...kami mendapati wanita tersebut telah ditinggalkan dan oleh itu layak mendapat kerakyatan.

"Dengan itu, kami dengan keputusan majoriti, mendapati merit dalam rayuan itu.

Artikel Berkaitan:

Rayuan dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan," katanya ketika menyampaikan keputusan yang dipersetujui Datuk Seri Kamaludin Md Said yang mengetuai panel tiga hakim.

Nantha Balan berkata, Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada November 2021 dalam kes serupa membabitkan seorang kanak-kanak yang ditinggalkan semasa dilahirkan di sebuah hospital di Kuala Lumpur, yang kemudiannya turut diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa warga Malaysia.

Selain wanita itu, dua lagi perayu adalah ibu bapa angkatnya berusia 70 dan 69 tahun.

Hakim Datuk Azizah Nawawi, dalam penghakiman bertentangan berkata, isu ditinggalkan tidak dibangkitkan dalam afidavit, oleh itu responden tidak perlu menjelaskan isu itu.

Beliau berkata ibu bapa angkat telah membuat pembayaran kepada ibu kandung melalui perantara.

"Fakta mendedahkan berlaku pengambilan anak angkat, bukan ditinggalkan oleh ibu kandung.

Anak itu tidak ditinggalkan di hospital, tetapi diserahkan untuk dijadikan anak angkat dengan bantuan perantara dan hospital.

"Dalam sijil kelahiran, ibu bapa angkat itu telah mendakwa sebagai ibu bapa kandung kanak-kanak itu dan mereka tidak pernah mendakwa anak itu ditinggalkan.

Hanya selepas siasatan, responden mendapati mereka bukan ibu bapa kandung kanak-kanak itu.

"Oleh itu, saya menolak rayuan tanpa perintah mengenai kos," kata Azizah.

Mengenai ibu bapa angkat, hakim itu berkata keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes lain memutuskan bahawa ibu bapa angkat bukan ibu kandung dalam Perkara 14 Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai isu anak tidak bernegara, beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam dua kes lain yang memutuskan bahawa jus soli dan jus sanguinis mesti diwujudkan namun ini tidak ada dalam kes ini.

Wanita itu dan ibu bapa angkatnya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Jun 2020, yang menolak saman pemula ketiga-tiga mereka untuk permohonan kewarganegaraan.

Menurut saman pemula itu, ibu bapa angkat dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa terdapat bayi untuk diambil sebagai anak angkat yang dilahirkan pada 9 Julai 1999.

Mereka telah didaftarkan sebagai ibu bapa kanak-kanak tersebut dalam sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian Malaysia.

Ibu bapa kanak-kanak itu telah memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendaftarkan kanak-kanak itu sebagai warganegara Malaysia, namun permohonan itu ditolak selepas menunggu selama tiga tahun pada 30 Mac 2018 tanpa sebarang penjelasan dan mereka memohon semula pada 28 Mei 2018 tetapi permohonan masih belum selesai walaupun selepas tempoh tiga tahun.

Ibu bapa kandung anak itu tidak dapat dikesan manakala hospital tempat kanak-kanak itu dilahirkan telah ditutup dan segala usaha untuk mengesan ibu bapa kandung itu telah gagal.

Semasa prosiding secara dalam talian itu, perayu diwakili peguam Ranee Sreedharan manakala Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Ng Wee Li. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!