Aaliyah memukau

Aaliyah muncul juara keseluruhan terbuka wanita Kejohanan Moomba Masters 2022 di Melbourne, Australia.
Aaliyah muncul juara keseluruhan terbuka wanita Kejohanan Moomba Masters 2022 di Melbourne, Australia.
A
A
A

ATLET ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah terus cemerlang apabila merangkul gelaran juara keseluruhan terbuka wanita Kejohanan Moomba Masters 2022 di Melbourne, Australia.

Atlet berusia 18 tahun itu berjaya meraih emas selepas mencatat 2,668.52 mata keseluruhan, mengatasi peluncur Chile, Gonzalez Valentina (2,323.40 mata) dan Willian Courtney (2,082.85 mata) dari New Zealand, yang masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Aaliyah Yoong turut meraih gangsa bagi acara 'tricks' terbuka wanita selepas mempamerkan aksi cemerlang dengan mengumpul 7,050 mata pada pusingan akhir kejohanan yang berlangsung di Sungai Yarra itu.

Pingat emas milik peluncur Kanada Ross Neilly yang mencatat 10,390 mata, manakala wakil Amerika Syarikat Erika Lang (10,260 mata) meraih perak.

Namun, Aaliyah terlepas kedudukan podium bagi acara 'jump' terbuka wanita apabila menamatkan saingan di tempat keempat dengan lompatan sejauh 39.1 meter (m), di belakang pemenang emas mewakili tuan rumah Caroll Jacinta (58.5m), Valentina (45.7m) dan seorang lagi atlet Australia Wooderson Casey (43.0m).

Bagi acara 'slalom' pula, Aaliyah berada di tempat kesembilan selepas terkandas seawal pusingan kedua.

"Ini Kejohanan Moomba Masters terbaik pernah saya sertai. Apa yang pasti minggu ini cukup luar biasa buat saya dan kemuncaknya sudah tentu apabila menduduki tempat ketiga dalam acara ‘trick’ terbuka wanita, yang merupakan kedudukan podium peringkat dunia pertama saya bagi kategori terbuka.

"Saya juga gembira kerana berjaya melakukan dua lompatan peribadi terbaik berturut-turut iaitu 39.1m dan 41.4m bagi kategori remaja, sekali gus memecah rekod kebangsaan dua kali dalam tempoh dua hari.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat gembira dengan prestasi saya di sini dan ini sudah tentu meningkatkan lagi keyakinan saya pada masa depan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Aaliyah berjaya merangkul tiga emas dalam acara 'jump', 'tricks' dan keseluruhan, serta satu gangsa dalam acara 'slalom' bagi kategori remaja pada kejohanan itu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong turut gembira menyaksikan perkembangan yang ditunjukkan Aaliyah.

"Ini adalah ujian terbaik pada usianya sekarang dan beliau membuktikan daya saingnya di peringkat dunia dengan memasuki pusingan akhir bagi acara ‘trick’ dan ‘jump’ dalam kategori terbuka.

"Aaliyah juga membuktikan beliau semakin berdikari dan boleh menguruskan acaranya sendiri selepas pergi ke Melbourne bersendirian,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!