Implikasi jika naikkan harga minyak
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini memberi bayangan kerajaan mungkin mengkaji semula subsidi produk petroleum supaya hanya kelompok yang layak menerimanya.
Menurutnya, jumlah subsidi petrol oleh kerajaan dijangka bertambah kepada RM28 bilion pada 2022 berbanding RM11 bilion pada 2021 sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi AS$100 setong.
Kata beliau, pertambahan kos subsidi itu sepatutnya boleh digunakan untuk manfaat pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Sebenarnya isu subsidi minyak bersasar sudah diperdebatkan sejak beberapa tahun lalu. Ideanya, orang miskin sepatutnya menikmati lebih banyak subsidi minyak berbanding orang kaya.
Namun realitinya orang kaya yang memiliki banyak kereta lebih banyak menerima manfaat.
Harga runcit petrol RON95 di Malaysia pada kadar RM2.05 seliter sekarang adalah sangat rendah berbanding harga runcit petrol di negara jiran lain.
Ketika ini harga runcit petrol di Indonesia mencecah RM3.74 seliter, Thailand (RM5.63 seliter) dan Singapura (RM9.16 seliter).
Perbezaan besar antara harga runcit petrol dalam negara berbanding negara jiran turut membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan petrol.
Dalam satu kejadian Isnin lalu, sebuah kereta yang terbakar di stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan bahan api ke negara jiran selepas polis menemui tong plastik terbakar yang dipercayai digunakan untuk mengisi minyak.
Berdasarkan perkembangan semasa, ada kemungkinan harga runcit RON95 tidak bersasar sekarang akan naik.
Namun kenaikan itu janganlah terlalu tinggi, contohnya tidak melepasi RM2.50 seliter.
Ini kerana kenaikan harga petrol pasti akan diikuti kenaikan harga barang yang lebih membebankan rakyat dan menjerumuskan negara ke dalam satu lagi masalah ekonomi.
Perang Rusia-Ukraine telah menyebabkan harga minyak mentah naik mendadak, malah diunjurkan mampu mencecah AS$150 setong dalam masa terdekat.
Banyak negara pengeluar minyak yang untung susulan situasi itu termasuk Malaysia.
Tidak salah jika sedikit keuntungan Petronas digunakan untuk manfaat rakyat termasuk dalam hal subsidi minyak agar harga minyak kekal rendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!