Tidak tahu larangan merokok di kedai makan
IPOH - Segelintir pelanggan memberi alasan tidak mengetahui larangan merokok di kedai makan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak di Taman Ipoh Timur di sini, pada Selasa.
Bagaimanapun, semua alasan itu tidak dilayan oleh 54 penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia, sebaliknya sebanyak 71 kompaun bernilai RM17,750 dikeluarkan bagi kesalahan tersebut.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Cawangan Inspektorat dan Perundangan JKN Perak, Azahari Man berkata, kompaun tersebut dikeluarkan mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
"Ketika pemeriksaan rata-rata mereka beritahu tidak tahu tidak boleh merokok di premis makanan. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengambil tahu kewujudan peraturan kawalan hasil tembakau ini, malah akta atau peraturan itu telah lama diwartakan iaitu pada tahun 2004.
"Kita melihat masyarakat terutama golongan belia kurang mengambil berat perkara ini jadi, dengan operasi yang dijalankan JKN ini diharap dapat membuka mata masyarakat untuk lebih mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan oleh KKM," katanya dalam sidang akhbar di sini.
Menurutnya, empat notis kesalahan bernilai RM1,000 turut dikeluarkan kepada pemilik premis di bawah Peraturan 12 PPKHT 2004 kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok.
"Tiga kompaun turut dikeluarkan kepada pekedai mengikut Peraturan 14(1) iaitu gagal mempamerkan tanda larangan jualan hasil tembakau kepada individu di bawah umur 18 tahun," katanya.
Menurut Azahari, pihaknya berjaya mengesan individu yang didapati melanggar perintah kuarantin di rumah (HSO) ketika makan di premis berkenaan.
"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana Covid-19 bukanlah perkara baharu dan masyarakat sendiri mengetahui tindakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) akan menyebabkan penularan jangkitan sukar dikawal.
"Pekedai perlu bertanggungjawab memastikan pelanggan yang memasuki premis mereka mematuhi SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.
Katanya, 27 kompaun bernilai RM27,000 dikeluarkan mengikut Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana ketidakpatuhan orang ramai terhadap SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.
Tambah beliau, sebanyak 278 aktiviti pendidikan kesihatan turut dijalankan melalui nasihat dan edaran kad berkaitan jenis-jenis kesalahan dan nilai kompaun kepada orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!