Treler muatan baja terbalik
KAJANG - Sebuah treler yang membawa muatan baja terbalik dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Tol Seri Putra di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 1.10 petang itu berlaku ketika treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun datang dari Plaza Tol Seri Putra menghala ke arah Bandar Bukit Mahkota.
"Sampai di tempat kejadian, treler muatan baja yang membelok ke kanan untuk memasuki simpang arah ke Bukit Mahkota telah terbalik ke sebelah kanan jalan dan menghalang satu laluan dari arah Bangi menuju ke arah Plaza Tol Seri Putra.
"Kejadian ini bagaimanapun tidak melibatkan mana-mana kenderaan awam yang melalui jalan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, pemandu treler dipercayai tidak mengalami kecederaan serius dan telah beredar dari tempat kejadian.
Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian sama ada terdapat kecuaian daripada pemandu treler atau sebaliknya.
"Pemilik treler juga telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membantu siasatan dan usaha mengesan pemandu treler terbabit sedang dijalankan," katanya.
Tambah beliau, dalam kejadian ini bantuan dari Balai Bomba Bandar Baru Bangi telah ke lokasi kemalangan untuk membersihkan tumpahan minyak diesel dari tangki treler tersebut.
"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta untuk menghubungi balai polis berdekatan di daerah Kajang atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes iaitu Sarjan Khairil Azuat di talian 018-9007723 bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!