Pegawai sains rugi RM20,600 ditipu pelaburan tidak wujud
KUANTAN - Seorang pegawai sains di sebuah hospital di sini mengalami kerugian RM20,600 selepas menjadi mangsa tawaran pelaburan mata wang asing yang tidak wujud melalui aplikasi Telegram pada Isnin lalu.
Mangsa berusia 29 tahun tertarik keuntungan lumayan selepas menerima pesanan berkaitan pelaburan itu sekitar jam 10.30 pagi itu ketika berada di pejabatnya di sebuah hospital di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian membuat pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM3,000 ke dalam nombor akaun diberikan suspek selepas mendapat penerangan mengenai pelaburan itu.
Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa mampu memperoleh keuntungan sehingga RM55,000 dalam masa enam jam selepas menyertai skim pelaburan itu.
"Mangsa mempercayai kata-kata suspek dan memindahkan RM3,000 sebagai permulaan untuk pelaburan terbabit.
"Beberapa jam selepas itu, suspek meminta mangsa membuat pembayaran bagi pendaftaran sebanyak RM17,600 kononnya bagi tujuan mengeluarkan keuntungan pelaburan dibuat mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, selepas itu suspek meminta mangsa membayar RM15,000 lagi sebagai caj untuk perkhidmatan bank.
Katanya, permintaan itu mendatangkan rasa curiga dengan suspek dan mengambil keputusan untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
"Mangsa seterusnya tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Selasa.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihak polis sedang mengesan pemilik akaun bank digunakan suspek untuk transaksi pelaburan berkenaan," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati jika menerima tawaran mencurigakan berkaitan pelaburan daripada individu atau kumpulan tidak dikenali.
Jelasnya, penipuan pelaburan melalui aplikasi Telegram dikesan semakin meningkat dan dipercayai modus operandi terbaharu digunakan kumpulan atau sindiket penipuan yang sebelum ini aktif membuat panggilan telefon dan menyamar sebagai pegawai dari agensi kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!