Pemandu Hilux tidak mengaku pandu melulu hingga empat beranak maut

Aliff Asyraf (kiri) hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dengan memakai pendakap leher dan badan, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga, tiga minggu lalu.
Aliff Asyraf (kiri) hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dengan memakai pendakap leher dan badan, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga, tiga minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu pacuan empat roda yang terlibat dalam nahas sehingga mengorbankan empat sekeluarga di Lebuhraya Sultan Iskandar tiga minggu lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas satu pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga.

Mekanik, Aliff Asyraf Abu, 27, yang hadir ke mahkamah dengan memakai pendakap leher dan badan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa sebagai pemandu kenderaan pacuan empat roda, jenis Toyota Hilux telah memandu dengan melulu dan merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga.

Mangsa yang maut dikenali sebagai P Milan Damani, 32; isterinya, C Tinisha, 31, dan dua anak mereka Rihaan Ivaan Damani, 4 dan Ishaan Ivaan Damani, 3.

Kesalahan didakwa dilakukan di Lebuhraya Sultan Iskandar, pada jam 11.20 pagi, 27 Februari lalu.

Ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Selain itu butir-butir sabitan diendorskan pada lesen pemandu dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam Muhammad Izzat Hasizan yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

"Ini merupakan kali pertama tertuduh didakwa di mahkamah dan semasa kejadian dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 28 April depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!