Penstrukturan semula Nadma: Filipina, Indonesia jadi penanda aras

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Badan pengurusan bencana di Filipina dan Indonesia antara yang akan dijadikan sebagai ‘benchmark’ atau penanda aras kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam menstrukturkan semula agensi itu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.

Beliau berkata, ini memandangkan langkah pengukuhan pengurusan bencana negara wajar mengambil kira praktikaliti di negara lain, yang mempunyai mekanisme pengurusan bencana yang hampir sama.

"Ini termasuk karakteristik masyarakat pelbagai budaya dan agama, risiko bencana dan tahap kompetensi serta teknologi pengurusan bencana,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) berhubung perkara itu di Dewan Rakyat pada Rabu.

Merujuk perbandingan perjawatan National Disaster Management Office (NDMO) di negara-negara ASEAN, beliau berkata, Badan Nasional Penanggulangan Bencana di Indonesia misalnya mempunyai 630 kakitangan, tidak termasuk 33 cawangan di provinsi dan 12 cawangan daerah.

Mastura berkata, National Disaster Risk Reduction and Management Council (NDRRMC) di Filipina pula memiliki 900 pegawai sokongan.

Beliau berkata, model tadbir urus pengurusan bencana di bawah satu agensi peneraju telah menjadi amalan kebanyakan negara, dengan 140 negara ketika ini mempunyai agensi bencana masing-masing, menurut United Nations Office for Disaster Risk Reduction.

Namun begitu, Mastura berkata, Malaysia semakin jauh ketinggalan dibandingkan banyak negara lain melibatkan aspek bilangan pegawai, pakar dan pegawai berpengalaman dalam Nadma.

"Pasukan dan mekanisme serta perundangan yang kuat juga harus ada dalam memastikan supaya semua dasar pewartaan dan undang-undang melibatkan pengurusan bencana tidak saling bercanggah dan demi mengelak pertikaian perundangan seterusnya,” katanya.

Ketika menjawab soalan asal Hasan, Mastura sebelum itu berkata, antara kelemahan ketara Nadma yang dikenal pasti berikutan kejadian banjir baru-baru ini ialah isu rantaian perintah di dalam pelaksanaan mekanisme tindak balas bencana dan struktur organisasi yang kecil.

Artikel Berkaitan:

"Nadma hanya beroperasi di peringkat pusat melibatkan 94 perjawatan pelbagai gred pengurusan dan profesional serta kumpulan sokongan yang menyukarkan koordinasi,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) sama ada wakil rakyat pembangkang turut dijemput dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Mastura berkata, buat masa ini ia hanya melibatkan agensi kerajaan, namun segala input untuk penambahbaikan adalah diterima tidak kira fahaman politik.

Sebelum ini, kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan Nadma di peringkat negeri dan daerah, selaras keputusan Jemaah Menteri pada 22 Disember lepas supaya struktur Nadma diteliti semula untuk memperkukuh peranannya sebagai peneraju pengurusan bencana negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!